Nak Bercuti Ke Kelantan Pada Hujung Tahun? Ini Kawasan Yang Perlu Dielakkan!

TIPS TRAVEL
November 01, 2019 - 12:16 PM


Bila masuk ke bulan-bulan terakhir tahun ini, seperti biasalah selalunya dijangkakan bakal berlaku perubahan angin Monsun yang membawa hujan lebat dan kejadian banjir.

Jika korang ada perancangan untuk bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan ke destinasi yang selalu berisiko ketika musim tengkujuh seperti negeri-negeri di Pantai Timur, diharap agar lebih berjaga-jaga.

Semalam, pihak Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, telah mengeluarkan arahan agar orang ramai tidak beriadah di kawasan berisiko seperti jeram perkelahan yang adakalanya boleh berlaku 'kepala air' dan menghanyutkan pengunjung yang beriadah di situ.

Selain itu, kawasan pantai juga perlu dielakkan kerana boleh mendatangkan bahaya disebabkan ombak yang kuat hingga menyebabkan pengunjung yang tidak berhati-hati atau leka dihanyutkan arus.

Pihak Bomba Kelantan juga sudah mengenalpasti 3 kawasan rekreasi di negeri itu yang berisiko berlaku kes lemas.

Kawasan terlibat adalah di Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Pantai Muara Tok Bali yang kini dalam proses memasang papan tanda keselamatan.

Menjelang musim Monsun Timur Laut, cuaca di Kelantan lazimnya cerah pada sebelah pagi namun ribut petir dan sesekali hujan lebat pada sebelah petang.

Jadi, kalau korang ada plan bercuti ke Negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ingat perlu sentiasa peka dengan keadaan sekitar dan dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa untuk keselamatan bersama.

Sumber: Bernama

Destination: 
;