Pelancong Perlu Membuat Tempahan Sebelum Ke Pulau Tioman

TIPS TRAVEL
October 18, 2021 - 12:18 PM


Pelancong yang ingin berkunjung ke Pulau Tioman diwajibkan membuat tempahan bilik selain lengkap dua dos vaksin COVID-19 sebelum dibenarkan ke pulau peranginan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan pemantauan dilakukan sekiranya terdapat kes positif dikesan di pulau berkenaan.

Tambah Mohd Sharkar, peraturan ketat itu diambil selepas menyaksikan kira-kira 2,500 tempahan diterima daripada pelancong yang ingin ke pulau berkenaan sejak kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Pulau Tioman tidak seperti destinasi pelancongan yang lain seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands yang boleh menginap di mana-mana hotel tanpa tempahan.

"Kita nak pastikan mereka yang pergi ke Pulau Tioman mesti ada tempat tinggal atau pun mereka telah ada reservation (tempahan) tempat untuk mereka menginap.

"Itu tak boleh (kalau tak ada tempahan).. simply walk in setakat ini tak boleh sebab kalau kita nak pergi sana (Pulau Tioman) kalau tak ada (penginapan) macam mana nak tidur sebab berada di pulau. Kalau macam Genting Highlands, Taman Negara atau tempat-tempat lain then you can go to other place (boleh ke tempat lain), tapi kalau di Tioman memang kena ada tempahan penginapan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, hampir 99 peratus hotel di Pahang sudah ditempah sejak minggu lalu dan semua pengusaha hotel dan penginapan diminta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak tindakan diambil terhadap mereka.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutama pelancong-pelancong domestik kerana memilih Pahang sebagai destinasi pilihan untuk melancong.

 

Destination: