Penghadang Polikarbonat Bakal Jadi Solusi Terbang Dalam Norma Baharu?

June 15, 2020 - 03:33 PM


Memandangkan keadaan semasa COVID-19 yang semakin pulih di kebanyakkan negara hingga banyak penerbangan juga telah mula beroperasi, memberikan sedikit kelegaan kepada masyarakat dunia.

Namun di sebalik khabar gembira itu masih ada yang merunsingkan sesetengah penumpang kapal terbang apabila dengan pengamalan norma baharu dan pematuhan SOP penerbangan menyebabkan harga tiket juga menjadi mahal serta semakin tidak masuk akal.

Bagi mematuhi penjarakan sosial, syarikat penerbangan terpaksa mengosongkan tempat duduk di bahagian tengah dan tidak dapat menawarkan kapasiti penumpang yang penuh kepada pelanggannya hingga terpaksa menaikkan harga tiket untuk menampung kos operasi.

 

Menyedari masalah tersebut, baru-baru ini Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) tampil dengan satu kaedah alternatif menarik bagi melindungi penumpang daripada jangkitan COVID-19 dan sekaligus membolehkan kapasiti tempat duduk penuh ditawarkan kepada pelanggan.

Alternatif yang dicadangkan adalah dengan memasang penghadang antara kerusi di dalam kapal terbang atau disebut sebagai Personal Protection Window (PPW).

Penghadang tersebut dikatakan berupaya untuk melindungi penumpang daripada risiko penularan titisan cecair kerana ia diperbuat daripada polikarbonat lutsinar.

Ketika ini cadangan alternatif tersebut sedang menunggu persetujuan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan jika mendapat 'lampu hijau' ia akan mula digunakan pada bulan Jun ini.

Penggunaan penghadang yang direka oleh RAS Completions, sebuah perusahaan yang berpengkalan di Lapangan Terbang London Biggin Hill itu dianggap lebih efektif berbanding pengaturan tempat duduk secara  berjarak memandangkan kos pemasangannya adalah murah dan lebih berbaloi.

Sumber: CNN Travel

 

Destination: