Tips Jimat Melancong Sehingga 50 Peratus Ke Labuan Bajo!

November 06, 2019 - 04:19 PM


Jika diimbas semula, ramai yang suka melancong ke Labuan Bajo kerana ada tarikan Pulau Komodo dan pengunjung berpeluang melihat secara dekat biawak gergasi itu.

Namun dek kerana terlalu popular dan mendapat kunjungan lautan manusia, akhirnya ekosistem di pulau berkenaan telah terganggu hingga menyebabkan Pulau Komodo pada mulanya dicadangkan untuk ditutup.

Bagaimanapun cadangan tersebut tidak diteruskan, sebaliknya digantikan dengan peraturan mengenakan caj yang lebih mahal iaitu RM4,000 kepada pengunjung yang ingin melihat komodo.

Hinggakan kini ramai yang menggelar bahawa percutian ke Labuan Bajo bakal menelan belanja yang sangat besar dan hanya sesuai bagi golongan berada.

Tapi, anda jangan risau sebab berikut adalah tips travel yang akan kami kongsikan tentang bagaimana melancong ke Labuan Bajo dengan belanja yang lebih murah dan boleh jimat hingga 50 peratus.

TIPS MELANCONG DENGAN MURAH DI LABUAN BAJO

1. Makan hidangan seafood lokal

Makanan yang biasa di Labuan Bajo sememangnya lebih mahal walaupun dibandingkan dengan yang dijual di ibu negara Indonesia, Jakarta.

Bagi sepinggan mi goreng segera dan segelas kopi 3 in 1 pun dah menelan sehingga Rp30.000 atau hampir RM10.

Ini kerana barangan yang dijual di Labuan Bajo segalanya diimport dari luar kepulauan dan sekaligus menyebabkan harganya lebih mahal.

Jadi untuk lebih jimat, lebih baik anda pesan sahaja aneka hidupan laut terutama di Kampung Ujung yang mempunyai bekalan segar. Anda boleh minta penduduk di situ untuk masakan goreng atau dibakar.

Ingat ya, harga makanan di Labuan Bajo adalah semakin jauh dengan kawasan pelabuhan ia semakin murah. Jadi sila cari makan ke kampung-kampung yang terdapat di pulau tersebut.

 

2. Pergi secara berkumpulan

Nak belanja yang lebih murah, apa kata anda buat perkongsian bijak dengan mengajak sekurang-kurangnya 2 lagi teman travel ke Labuan Bajo.

Kalau bercuti secara berkumpulan, kadar perbelanjaan anda akan lebih jimat kerana caj sewa kapal, bilik dan makan akan dapat dikongsi bersama kerana di sana kebanyakan pengusaha chalet atau resortnya masih boleh bertoleransi dengan kemasukan lebih 3 individu untuk sebilik dan jalan-jalan naik kapal.

 

3. Memilih waktu travel yang sesuai iaitu selepas Krismas & Tahun Baru

Datanglah pada awal Januari ketika musim liburan berakhir di Indonesia. Ini kerana pada masa itu biasanya hotel-hotel mengalami low season.

Bukan saja hotel, malah tiket kapal terbang juga biasanya ada promo yang jauh lebih murah.

 

4. Pilih penginapan dekat Pantai Kampung Ujung

Setibanya di Labuan Bajo, anda disaran untuk melihat-lihat atau memilih penginapan yang ada di sekitar Pantai Kampung Ujung.

Di sana banyak penginapan kelas backpackers dengan bajet rata-rata antara Rp 150-300 ribu per bilik.(lingkungan antara RM50 hingga RM90)

Lokasinya pun tak adalah jauh sangat dari pelabuhan dan boleh diakses dengan hanya berjalan kaki dalam 10 minit.

Selain itu, lokasi penginapan di situ juga agak strategik, dekat dengan pusat makanan seafood

 

5. Sewa motor di Kampung Ujung untuk 'city tour'

Jalan-jalan keliling Labuan Bajo juga lebih murah dengan menyewa motor.

Ada banyak tempat yang menawarkan sewaan motor di sana dengan kadar harga yang pelbagai. Biasanya caj sewaan adalah antara Rp50.000-Rp80.000 atau RM14-RM23 sahaja.

 

6. Sewa kapal secara terus ke pemilik kapal, bukan melalui ejen

Kalau dah bercuti ke Labuan Bajo antara aktiviti wajib yang mesti dilakukan tentunya belayar menggunakan kapal ke pulau-pulau di sekitarnya.

Disebabkan tarikan itu juga ramai ejen pelancongan yang menawarkan trip sailing kepada pengunjung.

Untuk lebih jimat anda disarankan untuk elak daripada menggunakan khidmat ejen-ejen tersebut, sebaliknya anda boleh saja terus ke Pelabuhan Pelni di Jalan Soekarno-Hatta.

Di sana, ada banyak kapal yang berlabuh dan anda boleh saja terus berunding mengenai harga sewa kapal dengan mereka. Harga ditentukan berdasarkan berapa banyak pulau yang ingin anda kunjungi dan berapa lama tempoh pelayaran tersebut.

Untuk berlayar seharian, caj sewa kapal dengan ke Pulau Rinca (untuk melihat komodo), Pulau Kelor (untuk trekking ke atas bukit) dan Pulau Kanawa (untuk snorkeling) adalah sekitar Rp750.000 atau RM221.

Itu belum lagi dikurangi dengan sesi tawar-menawar. 

Kalau ingin ke pulau yang lebih jauh seperti Pulau Padar dan Gili Laba, caj sewa adalah sekitar Rp 2 juta atau RM600 per kapal dan pastinya bakal menjadi lebih murah jika dikongsi bersama rakan-rakan travel anda.

7. Beli ole-ole di Pasar Wai Kesambi

Tak lengkap rasanya jika kita bercuti tanpa membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Kalau nak beli ole-ole yang bercirikan orang tempatan di Labuan Bajo, anda boleh dapatkannya di Pasar Wai Kesambi.

Di sana ada menjual pelbagai barangan dan hidangan tempatan yang murah dan menarik untuk dijadikan hadiah kepada yang tersayang.