Nak Bercuti di Langkawi? Korang Wajib Jalani Ujian Covid 19 Dahulu Ya!

September 15, 2021 - 04:07 PM


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan semua pelancong yang ingin bercuti di Pulau Langkawi yang mula dibuka pada esok 16 September wajib menjalani ujian saringan COVID-19. Beliau menjelaskan ujian tersebut perlu diambil oleh dewasa dan juga kanak-kanak yang berumur 7 hingga 17 tahun.

 

3 cara yang boleh dijadikan panduan bagi pelancong sebelum memasuki Pulau Langkawi: 

1) Menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk (lapangan terbang atau terminal feri) sebelum berlepas; atau

2) Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID19 di tempat saringan yang disediakan; atau

3) Pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

Bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

Menurutnya, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

"Bagi mereka yang didapati negatif COVID-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif COVID-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat yang sedia ada," katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: