"Bermalam Dalam Kebun Harum Manis" - Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa, Port Percutian Best Di Perlis!

TRAVEL
May 10, 2023 - 05:27 PM


Selain terkenal sebagai negeri yang paling kecil di Malaysia, Perlis juga popular sebagai satu-satunya lokasi pengeluar mangga Harum Manis dan tidak hairanlah jika di sana mempunyai banyak kebun penanaman buah yang digilai ramai itu.

Jika anda teringin untuk menikmati mangga Harum Manis yang original dari Perlis dan dalam masa sama nak merasai pengalaman bermalam di kebun buah Harum Manis -- anda boleh cuba menginap di Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa yang terletak di Kangar, Perlis.

Menjejakkan kaki ke lokasi penginapan ini, selain dikelilingi deretan pokok mangga Harum Manis yang mungkin ada antara anda yang baru pertama kali melihatnya -- Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa ini juga sebenarnya menawarkan pemandangan indah sawah padi terbentang luas yang tiada tolok bandingnya.

Di homestay ini tetamu boleh memilih antara 4 buah rumah yang disediakan dan kesemuanya mempunyai nama-nama yang cukup menarik iaitu -- Mat Yatim, Che Lian, Saadiah dan juga Wan Pa.

Kesemua rumah penginapan di sini adalah berkonsepkan tradisional dan sedikit elemen moden dari segi pembinaan serta susun atur hiasan dalamannya.

Jika anda menginap di Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa ini, dijamin anda pasti merasakan suasana kampung yang cukup tenang dan penuh kedamaian. Memang lokasi yang tepat untuk anda menghilangkan segala stress dan masalah.

Pada waktu malam persekitaran di homestay ini cukup selesa dan anginnya juga sejuk persis bercuti di tanah tinggi, manakala di waktu pagi pula anda bakal 'dijamu mata' dengan pemandangan yang sukar untuk didapati di tempat lain iaitu view awan karpet yang putih dan berkabus. Memang syiok habis!

Bukan itu sahaja, bercuti ke Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa ini juga anda tidak akan berasa bosan kerana banyak aktiviti yang disediakan di sini khas buat tetamu mereka seperti berenang, berkayak di tasik kecil di sana dan paling utama pastinya memetik sendiri mangga Harum Manis jika kebetulan tepat pada masa masaknya buah yang ditanam di situ.

Jika bernasib baik anda juga mungkin berpeluang menikmati kemanisan serta keenakan rasa asli mangga Harum Manis yang sedikit berbeza dengan jenis mangga biasa.

Harga penginapan yang ditawarkan di Homestay Kebun Mangga Harumanis Wan Pa ini juga cukup berpatutan dan bermula dari RM150 sahaja untuk satu malam.

ALAMAT: Kebun Mangga Harumanis Wan Pa, B1, Jalan Wang Ulu, Kangar, Perlis.

Destination: