Kawan Belanja Bercuti ke Bangkok Sebelum Diculik & Dibawa Ke Myanmar

TRAVEL
July 09, 2024 - 07:18 PM


Jika sebelum ini mereka diculik dan dipaksa bekerja sebagai scammer, namun kini mangsa diculik sebagai tebusan serta pemerdagangan manusia.

Ini bukanlah kali pertama rakyat Malaysia diculik dan dibawa ke Myanmar. 

Mangsa yang dikenali sebagai Law berkata rakannya telah mengajaknya bercuti ke Bangkok serta menawarkan untuk menguruskan kesemua perbelanjaan.

Berita melaporkan seorang individu yang merupakan ahli perniagaan telah diculik sewaktu ke Bangkok, Thailand.

Mangsa culik berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Law berkata dalang penculikannya ialah rakannya sendiri.

Menurutnya, individu tersebut yang telah dikenali sejak 10 tahun lalu dan sudah lama tidak berhubung telah menghubunginya pada bulan April lepas.

“Mulanya, saya agak terkejut apabila dihubungi rakan berkenaan memandangkan sudah lama kami tidak berhubung,” katanya.

Mereka kemudiannya bertemu dan dia dibelanja makan. Law kemudiannya diajak bercuti di Bangkok bagi menghadiri upacara keagamaan.

Berasa teruja dengan ajakan tersebut, Law lantas bersetuju memandangkan kesemua perbelanjaan semasa di Bangkok ditawarkan akan diurus oleh rakannya. 

Dia yang ditemui di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini (9 Julai) berkata tiket pulang ke Kuala Lumpur tidak disediakan. Namun dia tetap meneruskan ‘percutian’ tersebut dan telah berlepas ke Bangkok pada 7 Mei lalu.

Keadaan menjadi menggusarkan apabila Law pengsan ketika diberi minuman dalam sebuah kereta sebaik sahaja tiba di Bangkok. 

Katanya, dia telah berada di kawasan kampung di Maesot, Myanmar apabila tersedar dan diperas ugut bagi wang terbusan.

Lebih teruk lagi apabila dia dipukul menggunakan kayu dan besi, serta dikelar di leher dan tangan sepanjang berada di rumah tersebut.

Menurut Law, terdapat beberapa lagi mangsa tebusan lain di rumah berkenaan.

Dia walau bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum bertemu dengan dan dilindungi oleh seorang askar Myanmar yang boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

Setelah berjaya melarikan diri, Law telah cuba menghubungi semula rakan yang membawanya ke Bangkok, namun nombor telefon tersebut sudah tidak aktif. - Berita Harian