Kluang Rail Coffee Pecah Rekod Malaysia Sebagai 'Kopitiam Kereta Api Tertua'

TRAVEL
July 19, 2022 - 05:08 PM


Salah satu tarikan pelancongan jika bercuti ke Kluang, Johor iaitu Kluang Rail Coffee menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'Kopitiam Kereta Api Tertua' di negara ini.

Kopitiam yang terletak di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kluang itu kini telah mencecah usia 84 tahun.

Pegawai Pemasaran MBOR, Jwan Heah menyerahkan sijil tersebut kepada Pengarah Kluang Rail Coffee, Lim Jit Tong.

Selaku pewaris kepada kedai kopi stesen kereta api yang telah dibuka sejak tahun 1938, pengiktirafan itu dilihat sebagai kejayaan hasil usaha yang dilakukan oleh moyangnya, Lim Huan Hee yang membuka kopitiam berkenaan.

Diwarisi oleh generasi keempat ketika ini, Kluang Rail Coffee mempunyai empat cawangan di Kluang dan bakal membuka satu lagi cawangan di Shah Alam, Selangor pada September depan.

"Kita sangat gembira apabila kopitiam warisan keluarga ini terpilih mendapat anugerah MBOR. Roti bakar merupakan menu utama di kopitiam ini dan ia mampu dijual antara 5,000 hingga 6,000 set setiap hari," katanya.

Sementara itu, Jwan berkata pihaknya berharap Kluang Rail Coffee, KTM dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang merupakan pemilik bangunan kedai kopi itu dapat meneruskan operasi kopitiam berkenaan dengan mengekalkan konsep asalnya sekali gus menjadi antara destinasi pilihan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Datuk Syed Zain turut senada dan berkata kopitiam itu berpotensi menjadi produk pelancongan bersejarah di negeri ini, selain mempunyai banyak ciri menarik termasuk pelanggan yang berbilang kaum.

Sumber: Bernama

Destination: