Pusing-Pusing Naik 'Choley' : Tarikan Terbaru Di Kg Warna-Warni, Kuala Perlis!

TRAVEL
January 31, 2023 - 02:49 PM


Rakyat Malaysia yang ingin merasai pengalaman menaiki ‘choley’ atau motosikal beroda tiga kini tidak perlu lagi ke Thailand kerana mereka boleh merasai pengalaman menaikinya di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Ini kerana ada seorang anak muda bernama Nur Afiq Nasharudin menawarkan perkhidmatan choley yang dibeli beliau dengan modal RM4,000 dan ditempah khas dari Thailand.

Nur Afiq yang lebih mesra dipanggil ‘Mat Apit ’dalam kalangan penduduk kampung berkata beliau tidak menyangka pekhidmatan choley yang ditawarkannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara apabila memulakan operasi pada cuti Tahun Baharu Cina, 22 Januari lepas.

“Saya dapat idea ini selepas melihat kesukaran pelancong yang terdiri daripada warga emas dan ibu mengandung terpaksa berjalan kaki jauh bagi menikmati keindahan kampung ini.

“Berdasarkan pengalaman menaiki choley di Thailand, saya mencari jalan bagaimana hendak membawa masuk kenderaan ini secara sah ke sini dan alhamdulillah saya berjaya mendapatkan sebuah pada bulan lepas,” katanya kepada Bernama.

Menurut Nur Afiq pada hujung minggu beliau mampu mengendalikan antara 7 hingga 9 trip dari pagi hingga ke lewat petang dengan bayaran RM35 -- membawa pelancong mengelilingi Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai.

Pelancong akan dibawa pusing-pusing ke 7 buah kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Tanjung, Kampung Seberang Alur, Kampung Seberang Jaya, Kampung Pulau Ketam, Kampung Tandiap dan Kampung Baru Tandiap -- yang mengambil masa 45 minit hingga satu jam mengikut permintaan pelancong.

Selain berswafoto dan menikmati keindahan kampung -- pelancong juga berpeluang singgah membeli produk penduduk tempatan seperti dodol, putu kacang, halwa maskat dan laksa Kuala Perlis sebagai buah tangan.

“Saya rasa bangga di samping membawa pelancong, saya dapat jadi duta kecil untuk mempromosi kampung ini,” katanya.

“Jika dapat bantuan modal daripada pihak berwajib, saya bercadang untuk menambah sebuah lagi choley bagi menampung permintaan yang tinggi khususnya pada cuti umum dan hujung minggu,” katanya yang turut dibantu rakan sekampung bagi bergilir-gilir membawa pengunjung pada cuti umum dan hujung minggu.

Sumber & Kredit Gambar: BERNAMA

Destination: