The Wheel Estate Campsite - Port 'Glamping' Pertama Di Perlis
TRAVELMemandangkan trend glamping atau 'Glamor Camping' seakan menjadi trend percutian kegemaran rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini -- kebanyakkan negeri telah mempunyai banyak port glamping khas buat tetamu mereka.
Meskipun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia namun korang jangan tak tahu yang kini lokasi yang terkenal dengan Mangga Harumanis ini pun sudah ada port glamping pertama mereka.
Port glamping pertama seumpamanya di Perlis diberi nama "The Wheel Estate Campsite" di Belukar Lenga, Chuping.
Lebih menarik lokasi glamping itu dari tepi jalan pun korang dah boleh nampak pantulan imej bulan pada permukaan tasik apabila diterangi limpahan lampu pada waktu malam. Memang cukup memukau pandangan!
Ini kerana The Wheel Estate Campsite turut menghiasi lokasi glamping itu dengan sebuah replika bulan gergasi yang memberi pantulan pada waktu malam seolah-seolah seperti melihat bulan yang sebenar.
Kalau dah namanya Perlis yang permai -- semestinya lokasi The Wheel Estate Campsite juga wajib berlatar belakangkan hamparan sawah padi menghijau, bukit serta panorama kampung yang sekaligus menjadikan suasana percutian korang dijamin cukup tenang dan mendamaikan jiwa.
Mula beroperasi sejak 1 Disember 2022 -- The Wheel Estate Campsite yang diusahakan pasangan suami isteri, Chew Heng Boon dan Jasmine Say itu menerima sambutan yang cukup luar biasa.
The Wheel Estate Campsite menyediakan kemudahan 18 khemah yang terdiri daripada jenis ‘Dome Tent’, ‘Diamond Wooden Tent’ dan ‘A’ Wooden House dengan harga serendah RM80 sehingga RM320.
Selain kemudahan penginapan, tetamu turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik yang ada disediakan di situ seperti memancing, berbeku, berbasikal, memanah dan banyak lagi.
Malah jika korang datang bersama pasangan bagi meraikan hari istimewa, The Wheel Estate Campsite turut menyediakan ruangan makan di tengah tasik dalam suasana romantik dengan harga serendah hanya RM98.
Meskipun baru sahaja dibuka tetapi korang jangan tak tahu tempat ini telah pun dikunjungi oleh pelancong dari luar negara antaranya Itali, Sweden dan Singapura.
Di bawah ini korang boleh usha jenis penginapan yang ditawarkan di sini.
Sumber: Utusan Malaysia