Rasa Durio Eco Glampz - Glamping Dalam Dusun Durian Di KKB, Selangor

TRAVEL
October 27, 2022 - 01:26 PM


Nak rasa pengalaman glamor camping atau Glamping dalam dusun durian -- di mana kalau kena musimnya korang pun sama-sama dapat menikmati keenakan raja buah itu?

Jika ya korang kena datang bercuti ke Rasa Durio Eco Glampz (RDEG) yang terletak di Rasa iaitu 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Berkonsepkan agropelancongan -- RDEG yang baru beroperasi sekitar bulan Mei yang lalu menawarkan penginapan glamping di atas kawasan dusun seluas 8 hektar!

JENIS PENGINAPAN

RDEG menawarkan 22 buah unit penginapan terdiri daripada :

- Durio Cottage

- Bell Tent

- Hill Top Chalet

- Yurt Citrus Tent

- Riverview Room

- Standard Tent

RDEG boleh menampung kehadiran hampir 100 tetamu pada satu masa dan pakej penginapan ditawarkan pada harga serendah RM168 semalam.

Bukan sekadar penginapan, RDEG juga menyediakan fasiliti seperti surau, kafe, tandas, tempat mandi, gazebo, dapur dan dewan terbuka.

PELBAGAI AKTIVITI 'NATURE' MENARIK DI RDEG

Dari segi aktiviti pula -- pengunjung berpeluang mandi dan bermain rakit di sungai yang begitu mendamaikan.

Aktiviti lain yang ditawarkan termasuk memanah, mendaki bukit, bermain badminton, trampoline, melihat ayam hutan, mandi kolam, bermain bola sepak, permainan catur, karom, congkak dan banyak lagi.

Pengunjung juga boleh menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), menikmati pelbagai jenis durian dari dusun pada harga berpatutan, selain barbeku.

Jika tidak mahu menginap di situ, RDEG turut menawarkan pas masuk secara harian bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang bagi membolehkan pelawat melakukan aktiviti.

RDEG sering menjadi tumpuan pengunjung yang ingin melihat dan mengenali pokok-pokok di situ.

Bukan sekadar durian, di sini juga terdapat tanaman lain seperti pucuk gajus, bayam Brazil, saka inci, senduduk, manggis, dokong, saka inci, mata kucing, orkid serta banyak lagi.

Namun bagi penggemar durian, musim buah itu terhad antara April hingga Julai -- namun ia juga bergantung kepada faktor cuaca setiap tahun.

IDEA PEMBUKAAN DUSUN SEBAGAI PUSAT PELANCONGAN

Menurut pemilik dan pengurus RDEG, Rozinah Anas berkata -- idea membuka pusat pelancongan tersebut sudah lama difikirkan terutama selepas bersara sekitar 5 tahun lalu.

“Dusun durian ini memang sudah lama ada, tetapi saya dan suami jarang datang ke sini kecuali ketika musim durian.

“Selepas bersara, saya dan suami ingin memanfaatkan sebahagian tapak di dusun ini dengan membangunkan pusat tarikan pelancongan berasaskan pertanian.

“Bermula Mei lalu, kami sepakat untuk membuka sebuah pusat pelancongan agro di dalam dusun dengan membangunkan beberapa fasiliti asas.

“Kami cuma menggunakan dua hektar daripada keluasan dusun untuk membangunkan tempat penginapan ini", katanya.

Tambah Rozinah, selepas membuat promosi secara agresif di semua platform media sosial, sambutan yang diterima RDEG sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Sumber: Kosmo & Kredit Gambar: FB Rasa Durio Eco Glampz

 

Destination: