Rindu D’Villa Langkawi Perkenal Konsep Lantai 'Glow In The Dark' Pertama Di Asia. Rupanya Milik Penyanyi Black!
TRAVELJika korang ada perancangan untuk bercuti ke pulau peranginan popular di utara tanah air iaitu Pulau Langkawi dan teringin menginap di villa baharu yang mempunyai konsep lantai ‘glow in the dark’ pertama di Asia -- korang boleh cuba tempah bilik di RINDU D'VILLA bermula Mac ini!
Kalau nak tahu, villa baharu yang siap dibina itu rupanya adalah milik penyanyi Black Hanifah atau nama penuhnya Hanifah Muhammad Hanafiah.
Rindu D’Villa yang terletak di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, Langkawi itu dibina sendiri oleh Black dengan dibantu empat tukang yang dibawanya dari Kuala Lumpur.
Paling menarik adalah villa tersebut merupakan yang pertama di Asia berkonsepkan lantai ‘glow in the dark’.
“Konsep lantai ‘glow in the dark’ itu dicadangkan seorang rakan pembekal barangan. Dia boleh sahkan villa saya yang pertama menggunakan konsep itu di Asia kerana barangan berkenaan memang miliknya," jelas Black.
Mengikut cerita Black, Rindu D’Villa mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk dibina selepas tercetusnya idea sejak Oktober lalu, ketika negara sedang melalui fasa peralihan ke endemik.
Dia terlebih dahulu mengumpul maklumat, membuat kajian dan meneroka harga pasaran sebagai persiapan rapi memulakan projek terbabit, termasuk pembaharuan ditampilkan.
“Idea tercetus tahun lalu selepas kita memasuki fasa peralihan ke endemik. Saya memang ada perniagaan rumah sewa di sini (Langkawi), jadi terfikir pula hendak menambah aset dan mengembangkan lagi pendapatan.
“Itu yang timbul idea untuk bina villa pula, tetapi boleh diinap oleh pelancong yang berkunjung ke sini.
“Tidak membuang masa, sekitar Oktober lalu, kerja pembinaan dimulakan dan saya bawa sendiri tukang rumah seramai empat orang ke Langkawi.
“Saya bina villa ini bersama mereka, berulang-alik dari Kuala Lumpur memandu sendiri kereta membawa barang binaan. Apa yang boleh dikatakan, saya puas dengan hasilnya hari ini,” kata Black yang kini berada di pulau peranginan tersebut bersama keluarganya.
Rindu D’Villa sudah bersedia untuk menerima kunjungan tetamu dan tempahan sudah mula dibuka untuk bulan Mac ini.
Villa itu mempunyai empat bilik tidur yang dilengkapi bilik air, ruang tamu, dapur dan kolam mandi peribadi serta boleh memuatkan sehingga 10 tetamu.
FACEBOOK: Rindu D'Villa Langkawi
INSTAGRAM: rindudvilla