Selami Kehidupan 'Permata Negara' - Abadikan Kenangan Di Rumah P.Ramlee

TRAVEL
July 11, 2023 - 02:47 PM


Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.Satu nama agung dalam industri perfileman tanah air, siapa lagi kalau bukan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Nyak Putih Teuku Karim. Kehilangan beliau merupakan yang terbesar dalam dunia seni negara dan dirasai hingga kini. 

Seniman ini telah meninggalkan satu budaya unggul dan tidak mungkin mana-mana penggiat seni dapat menandingi beliau yang telah menghasilkan produk bak lima bintang. 

Rumah P. Ramlee merupakan salah satu muzium yang boleh dikunjungi dan dilawati di Pulau Pinang. Jika anda merancang hendak bercuti ke negeri ini, bolehlah singgah ke Rumah P. Ramlee yang terletak di Jalan P. Ramlee, George Town.

Rumah kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniman tanah air yang sangat terkenal dan berbakat luar biasa ini telah dijadikan muzium mini bagi mengenang serta memperingati beliau.  

Memang sudah tidak asing lagi dan Rumah P. Ramlee ini telah menjadi salah satu tempat pelancongan yang sering dikunjungi oleh orang awam terutama orang-orang yang meminati karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Rumah inilah anda boleh melihat serta mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah hidup beliau dan kehidupan Allahyarham ketika kecil.

Latar Belakang Rumah P.Ramlee

Rumah kelahiran seniman agung ini telah dibina pada tahun 1926 hasil kudrat bapa dan Rejab Husin iaitu bapa saudaranya. Walaupun rumah ini pernah dibaiki semula oleh Rejab ketika zaman pemerintahan Jepun, namun rumah ini masih kekal seperti reka bentuk asalnya.

Rumah P. Ramlee dengan reka bentuk senibina Melayu ini tidaklah besar mana dan diperbuat daripada kayu serta bumbungnya beratapkan rumbia. Dikatakan rumah ini juga dijaga dengan sangat baik meskipun sudah dibaik pulih beberapa kali sebelum Arkib Negara mengambil alih sepenuhnya.

Menyimpan Pelbagai Koleksi Milik Allahyarham

Bukan sahaja mempamerkan sejarah hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi rumah ini turut menempatkan barang-barang peribadi milik beliau dan pusaka tinggalan keluarga untuk diperlihatkan kepada para pelancong yang mengunjungi rumah tersebut. 

Banyak bahkan hampir kesemua barangan koleksi milik Allahyarham dipamerkan di Rumah P.Ramlee berserta pusaka tinggalan keluarganya. Antara barang milik beliau yang dipamerkan adalah perkakas dapur, pakaian serta peralatan muzik.

Terdapat dua bahagian pameran di Rumah P. Ramlee ini. Bahagian pertama ialah bahagian dalam di mana bahagian ini memperlihatkan serba sedikit pengenalan tentang P. Ramlee. Ruang seni dan sukan, bilik tidur dan juga ruangan dapur turut terdapat di bahagian dalam.

Bahagian luar pula merupakan bahagian pameran yang kedua. Di bahagian luar ini dipamerkan basikal lama yang digunakan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sewaktu beliau kecil. Dikatakan, basikal tersebut digunakan oleh beliau untuk pergi ke sekolah dan bersiar di waktu petang.

Terdapat juga sampan milik keluarga belliau yang diletakkan di bawah Rumah P.Ramlee. Sampan tersebut digunakan oleh keluarganya untuk keluar mencari pendapatan bagi menampun keluarga mereka.

Bukan setakat tu je, pengunjung yang datang ke Rumah P.Ramlee pasti akan terpesona melihat keindahan kawasan halamannya dihiasi dengan pokok-pokok bunga yang sungguh cantik dipandang. Lebih menarik, pokok yang ditanam sejak dahulu masih terlihat kekal hingga ke hari ini.

Galeri P.Ramlee

Dah alang-alang sampai ke Rumah P.Ramlee, bolehlah singgah ke Galeri P.Ramlee juga yang terletak bersebelahan saja. 

Galeri ini terdapat pelbagai maklumat, barang-barang serta gambar yang berkaitan P.Ramlee dipamerkan di sini. Anda bukan sahaja dapat melihat poster-poster filem dan majalah berkaitan Allahyarham, bahkan dapat melihat sendiri depan mata anda barang-barang peribadi yang pernah digunakan oleh beliau.

Jika anda salah seorang penggemar Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee dan ingin tahu tentang kisah hidup beliau, galeri ini sangat disyorkan untuk anda kunjungi kerana begitu banyak maklumat mengenai sejarah hidup, kerjaya dan sumbangan beliau yang diperlihatkan di galeri ini.

Satu kerugian buat anak-anak muda jika mereka masih belum berpeluang mengenali atau jatuh cinta dengan karya agung seniman tersohor ini. Mana tidaknya, nukilannya telah meninggalkan impak budaya perfileman hebat sehingga hari ini.

Masuk ke Rumah dan Galeri P.Ramlee percuma sahaja dan tidak kenakan apa-apa bayaran termasuklah parkir. Rugi kalau anda tak singgah ke kedua-dua tempat ikonik ini jika ke negeri yang diberi jolokan Pulau Mutiara ini. 

Sesekali berkunjung ke tempat yang memberikan pelbagai informasi bermanfaat dan sejarah, pasti seronok lebih-lebih lagi membawa anak-anak agar mereka terdedah dengan sejarah seni di Malaysia.

Waktu operasi

Selasa hingga Ahad: 9 pagi hingga 5.30 petang

Jumaat: 9 pagi hingga 12 tengahari dan 3 petang hingga 5.30 petang

Isnin: Tutup kecuali cuti umum dan cuti sekolah

Alamat

Lot 2180, Jalan P. Ramlee, Taman P. Ramlee, 10460 George Town, Pulau Pinang

Destination: