"Siap Ada Taman Permainan & Hotel Kapsul" - Masjid MADAD Tarikan Terbaru Sungai Petani, Kedah

TRAVEL
September 11, 2023 - 01:17 PM


Kebiasaannya, masjid menawarkan kemudahan asas kepada pengunjung yang hadir seperti tandas dan tempat untuk mendirikan solat.

Manakala, masjid-masjid besar pula biasanya menawarkan kemudahan yang lebih banyak seperti perpustakaan, bilik mandi dan bilik persinggahan musafir.

Namun, anda pasti tidak dapat mengawal diri daripada merasa kagum akan kemudahan yang ditawarkan dalam masjid ini.

Masjid Murtadha Dakwah Centre atau Masjid MADAD yang terletak di Sungai Petani, Kedah baharu saja beroperasi sejak April lepas.

Siapa sangka bahawa masjid ini menawarkan kemudahan yang bersifat lain dari yang lain kepada pengunjung yang hadir ke situ.

Seorang pempengaruh TikTok, TomFitree (@tomfitree) telah menunjukkan kemudahan masjid yang luar biasa menerusi perkongsiannya di laman tersebut.

@tomfitree Replying to @Ustaz Yaakub Yusra Terima kasih Ustaz. Masjid punya cantik la ustaz. Memang selesa. Korang datang sini. Ada taman permainan anak-anak dan ada capsule hotel. Share video ni supaya beri manfaat ramai orang. #tomfitree #fyp #masjid #indoorplayground #capsulehotel #madad #sungaipetani #kedah ♬ Cooking Time - Lux-Inspira

Jelasnya, walaupun masjid tersebut baru siap dibina, aktiviti dan program berkaitan dakwah telah pun bermula dengan begitu rancak.

Masjid Dilengkapi Taman Permainan Kanak-Kanak

Menurut kebiasaan, taman permainan kanak-kanak akan diletakkan pada bahagian luar bagi mengelakkan gangguan bunyi bising.

Berbeza dengan Masjid MADAD, taman permainan kanak-kanak dibina di dalam masjid. Maka, kanak-kanak boleh bermain-main dengan bebas ketika ibu bapa beribadah di dalam masjid.

Bahagian dalam taman permainan itu terdapat gelongsor dan beberapa permainan yang membantu kanak-kanak untuk mengenal huruf-huruf hijaiyah.

Mungkin anda tertanya-tanya, adakah suara kanak-kanak yang bermain di taman permainan akan kedengaran dan menganggu jemaah?

Jawapannya tidak. TomFitree mengatakan bahawa ruang permainan kanak-kanak di Masjid MADAD tertutup dan bunyi bising tidak kedengaran di ruang solat.

Pada masa yang sama, terdapat cermin kaca lutsinar yang membantu ibu bapa anak-anak mereka bermain di kemudahan tersebut.

Kata pempengaruh tersebut, dia teringat dengan satu petikan yang sering dikaitkan sebagai ucapan daripada Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Jika suatu masa kelak kamu tidak lagi mendengar bunyi bising gelak ketawa kanak-kanak riang di saf salat masjid-masjid, maka takutlah kalian akan kejatuhan generasi muda kalian masa itu.”

Jadi, dia merasakan usaha yang dibuat oleh Masjid MADAD untuk menarik minat generasi muda dengan masjid adalah luar biasa.

Pembinaan taman permainan ini boleh merangsang minat kanak-kanak untuk ke masjid, sekali gus mendorong mereka untuk menyertai aktiviti dan program di masjid.

Masjid Ini Juga Tawarkan Hotel Kapsul Buat Para Musafir

Selain menyediakan taman permainan kepada kanak-kanak, Masjid MADAD ini turut memberikan kemudahan kepada pengunjung yang datang dari tempat yang jauh.

Dengan menggunakan konsep hotel kapsul dari Jepun, pihak pengurusan masjid dapat menyediakan kemudahan penginapan buat para musafir secara efisien.

Hotel kapsul di Masjid MADAD dilengkapi penghawa dingin dan setiap kapsulnya turut disediakan dengan lampu dan soket untuk penggunaan peralatan elektrik.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menutup tirai pada kapsul anda jika inginkan privasi daripada penginap-penginap lain.

Info Mengenai Murtadha Dakwah Centre (MADAD)

Murtadha Dakwah Centre ditubuhkan di Kampung Teluk Sungai Petani Kedah pada awal Januari 2018. Pada awalnya, pusat dakwah ini dikenali dengan nama “Pusat Dakwah Darul Murtadha”.

Pengasas bagi pusat dakwah adalah arwah Ustaz Murtadha Yusof yang telah meninggal dunia pada 10 Januari 2018, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kemudian, legasinya ini disambung oleh adiknya, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra. Beliau telah mengambil alih hal ehwal pengurusan untuk operasi pembangunan dan pendidikan yang dikenali pada hari ini.

Kini, MADAD telah beroperasi selama dua tahun dan memiliki beberapa institusi di bawah naungannya. Antaranya, Maahad Integrasi Madad (MIM), Masjid MADAD dan lain-lain lagi.

Buat masa sekarang, MADAD mengadakan program pendidikan umum seperti Klinik Al-Fatihah dan Halaqah Pengajian Al-Quran & Fardu Ain yang dibuka kepada masyarakat sekitar Sungai Petani secara percuma.

Terbaharu -- di masjid itu juga ada rumah kucing, akademi memanah dan tempat berkuda khas untuk orang ramai yang ditawarkan secara PERCUMA!!

Sumber: Siakap Keli & TikTok TomFitree

Destination: