Abang Saga Mengamuk, Tendang Penunggang Motor Gara-Gara Di Hon

TERKINI
October 02, 2023 - 05:06 PM


Seorang pemuda cedera di bibir, tulang rusuk dan kaki selepas dipukul dan ditendang pembuli jalanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.15 malam, mangsa yang berusia 21 tahun turut mengalami kerugian sebanyak RM250 apabila ‘cover set’ motosikalnya rosak akibat ditendang suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC membunyikan hon kepada kereta Proton Saga dinaiki tiga lelaki kerana memandu secara berbahaya dan hampir melanggarnya.

Tindakan itu menyebabkan pemandu kereta tersebut menghalang mangsa di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Salah seorang suspek menolak mangsa sehingga terjatuh daripada motosikalnya. Mangsa turut dicekik, ditumbuk pada muka selain ditendang perut dan kaki beberapa kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Orang awam yang berada di lokasi tersebut berjaya meleraikan perbuatan suspek. Dalam kejadian itu, suspek turut menendang motosikal mangsa sehingga terjatuh menyebabkan kerosakan pada ‘cover set’ sebelum beredar.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan,” tegasnya. 

Destination: