AirAsia Kutip Kadar Tambahan RM23 Daripada Penumpang KLIA2, Mulai Hari Ini!

TERKINI
August 09, 2019 - 02:54 PM


Mulai hari ini (9 Ogos), AirAsia mengutip kadar tambahan RM23 untuk Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) dan caj itu akan dipaparkan sebagai satu item khusus di dalam resit pembayaran iaitu “Caj Perkhidmatan Penumpang (Dalam Bantahan)”. 

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berbuat demikian sebagai menzahirkan ‘bantahan’ berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini, membenarkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan PSC baharu sebanyak RM73 kepada penumpang yang menggunakan KLIA2 untuk ke destinasi-destinasi di luar ASEAN.

Jumlah PSC berkenaan adalah kadar sama yang dikenakan untuk terminal perkhidmatan penuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkuatkuasa Julai tahun lalu.

Tindakan terbaharu AirAsia itu juga dilakukan agar 5.5 juta penumpangnya yang berlepas dari KLIA2 setiap tahun menilai sendiri sama ada jumlah yang mereka bayar itu setimpal atau berbaloi dengan kemudahan di KLIA2, yang nyata berbeza dengan terminal KLIA yang lebih mewah dan selesa.

Malah sebenarnya, Caj Perkhidmatan Penumpang bagi penerbangan ke destinasi di luar Asean telah naik lebih dua kali ganda dalam masa kurang dua tahun iaitu daripada RM32 pada 2016 kepada RM73 mulai tahun lepas.

Meskipun keberatan untuk mengutip tambahan PSC RM23, namun AirAsia terpaksa melakukannya kerana tidak lagi mampu untuk terus memberi subsidi kepada penumpangnya sekiranya rayuan mereka akhirnya tetap tidak diterima di mahkamah.

Pada bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran Caj Perkhidmatan Penumpang sebanyak RM40.6 juta kepada MAHB.

Bagi pengetahuan korang, 'PSC atau Cukai Lapangan Terbang' merupakan caj yang dikenakan MAHB kepada penumpang yang menggunakan kemudahan lapangan terbang dan dikutip oleh syarikat penerbangan seperti AirAsia bagi pihak pengendali lapangan terbang.

Sumber: Newsroom AirAsia