"Anak Saya Makin Sihat" - Info Terkini Dari Bapa Kandung Kanak-Kanak Didera

TERKINI
August 14, 2023 - 04:35 PM


Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa didera ibunya dan rakan di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang akan ditempatkan dalam jagaan saudara maranya sebaik pulih. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata laporan perubatan menunjukkan kecederaan pada badan kanak-kanak itu dilakukan menggunakan rotan.

"Saya melawat kanak-kanak itu di Hospital Sultan Ismail di sini pada Ahad (13 Ogos) dan dia dalam keadaan baik. Dia kelihatan sangat gembira dan akan diletakkan di bawah jagaan bapa, bapa saudara dan datuknya.

"Di kesempatan itu juga, kami bersama-sama meraikan ulang tahun kelahirannya bersama bapa kandung, bapa saudara dan datuknya yang datang dari Kedah. Tidak pernah terlepas daripada senyuman, saya berharap agar kanak-kanak ini membesar dengan tabah dan kuat" katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau malam tadi.

Beliau juga turut berterima kasih kepada penduduk Bandar Layangkasa bersama Penghulu Mukim Plentong Daerah Johor Bahru yang peka dengan keadaan kanak-kanak itu dan bertindak segera.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Komisaris Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dua rotan dirampas dari rumah yang didakwa digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Suspek, ibu kanak-kanak itu berusia 27 tahun dan rakannya, seorang wanita warga asing berusia 30 tahun, ditahan sekitar jam 12.30 pagi Sabtu (12 Ogos). Beliau berkata ibu itu kini ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis (17 Ogos) dan rakannya, sehingga Jumaat (18 Ogos).

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penderaan kanak-kanak.

Dilaporkan sebelum ini tangisan kanak-kanak itu telah membimbangkan sekumpulan jiran, yang memutuskan untuk bertindak dengan mengunjungi rumah itu dan meminta berjumpa dengan kanak-kanak itu.

Apabila ibu dan rakannya memberi alasan mengapa mereka tidak dapat melihat budak itu, jiran-jiran menghubungi polis. 

Sumber berita : The Star