Aplikasi Smart Selangor Parking Kini Boleh Digunakan Di Kuala Lumpur

TERKINI
July 10, 2019 - 03:51 PM


Pemandu-pemandu di Kuala Lumpur selepas ini boleh membuat pembayaran parkir kenderaan mereka menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang membolehkan pemandu membayar bayaran parking mereka menggunakan smartphone apabila meletakkan kenderaan di petak letak kenderaan berbayar.

Sistem letak kereta bersepadu ini sebenarnya telah digunapakai di tujuh daerah di Selangor selepas diperkenalkan 1 Julai tahun lalu dan terkini mendapat sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan menggunakan sistem bersepadu yang sama.

Selain membuat bayaran petak letak kenderaan harian, pengguna turut boleh menggunakan aplikasi SSP untuk membayar pengusaha petak parkir berbayar di Kuala Lumpur. Buat permulaan, 4 pengusaha petak parkir swasta telah bersetuju untuk bekerjasama menggunakan SSP.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar untuk membuat bayaran sebelum memasuki kawasan parkir milik persendirian atau syarikat swasta.

Buat masa sekarang, aplikasi SSP ini boleh digunakan di Kawasan Letak Kereta LRT Paramount, Asia Jaya, Stadium Kelana Jaya dan petak parkir di Atria.

Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi ini, mereka sedang membuat promosi bermula sekarang hingga 9 Ogos nanti.

Aplikasi SSP ini merupakan cara pembayaran alternatif yang diperkenalkan selain cara yang diguna sekarang iaitu menggunakan sistem kupon ataupun tiket.

Akan datang, lebih banyak kawasan akan diliputi oleh SSP ini.

Nota Editor : Bagus sangat-sangat bila ada sistem macam ni, bukan apa, dari apa yang kami perhatikan… Kebanyakan mesin parkir, sudah tidak berfungsi, kupon pulak kena beli satu buku, setiap PBT ada buku berlainan pulak tu. Kalau buat sistem macam ni kan mudah. Semua guna satu sahaja.

Destination: