"Bagi Member Pegang Mesti Rosak" - GR Yaris Edisi Terhad Milik Pekin Terlibat Kemalangan

TERKINI
July 12, 2023 - 11:49 AM


Kereta yang baru keluar showroom semestinya kita akan bawa lebih berhati-hati dan sayangkan seperti menatang minyak yang penuh. Yelah, kereta baru kot. Apatah lagi kalau kereta edisi terhad dan ditempah khas dari luar negara. 

Tapi ada satu insiden ni melibatkan kereta kesukaan ramai lelaki, Toyota GR Yaris Kansai D1 Edition terlibat dalam kemalangan yang membuatkan ramai rasa 'sakit' tu. Rupanya kereta tersebut milik pelakon, Pekin Ibrahim yang mendedahkan situasi sebenar tersebut di Youtube dan TikTok beliau.

Kereta yang baru seminggu tiba dari Jepun itu dipandu oleh rakan-rakannya dan salah seorang darinya mengalami patah bahu. Semasa insiden itu berlaku kereta tersebut dipandu oleh rakannya yang dalam perjalanan pulang dari kedai makan.

Punca kemalangan masih tidak diketahui kerana ia berlaku sekelip mata. Walau bagaimanapun Pekin bersyukur kerana tiga orang rakan yang berada dalam kereta tersebut selamat.

"Benda ni aturan Allah S.W.T, mereka (rakan-rakan yang terlibat kemalangan) masih hidup sudah cukup buat saya rasa bersyukur alhamdulillah" ujar Pekin.

Meskipun sedih dan terkilan dengan apa yang terjadi, pelakon filem Rock Oo! itu meminta kepada warga maya untuk menghentikan segala khabar angin yang tidak betul dengan mengatakan yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia dan berlumba sehingga menyebabkan kemalangan.

Suami kepada pelakon jelita Mona Allen itu sempat menitipkan pesanan buat semua yang menonton untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu.

"Apa-apa pun untuk korang, berhati-hati di jalan raya. Bawa kereta member, kena hati-hatilah itu je saya boleh cakap" jelasnya redha.

Difahamkan, kereta jenis GR Yaris Kansai D1 Edition milik Pekin itu mendapat sentuhan istimewa oleh pemilik Kansai Service di Jepun dan baru saja tiba di Malaysia lebih kurang seminggu lalu.

Sumber berita : The Vocket