Boracay Banjir, Perlu Lebih Masa Untuk Baik Pulih

TERKINI
July 19, 2019 - 11:40 AM


Agensi kerajaan Filipina yang bertanggungjawab memulikan Boracay telah meminta lebih masa untuk menyelesaikan kerja-kerja baikpulih yang sedang dijalankan di pulau berkenaan selepas ianya dilanda banjir Rabu lalu.

Beberapa gambar telah tular menunjukkan Boracay ditenggelami air di Facebook dan juga twitter sejak semalam disebabkan ribut Danas yang melanda kepulauan berkenaan. Kejadian tersebut membuatkan ramai netizen mengeluh dan mengadu sambil mengatakan keputusan untuk menutup pulau berkenaan selama 6 bulan sebelum ini hanya sia-sia.

Keadaan sekarang ini menyebabkan penduduk setempat dan pelancong yang ada di sana perlu menghadapi banjir sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun depan.

Menurut laporan, kejadian banjir tersebut adalah kerana sistem perparitan di sana masih dalam proses pembaikpulihan. Berkemungkinan bersar, sistem perparitan sementara akan dikorek bagi membolehkan air banjir tersebut surut ke laut.

Ribut Danas baru-baru ini telah menyebabkan sebahagian dari perkampungan di Balabag dan Yapak dinaiki air setinggi 3 meter di sesetengah kawasan.

Menurut pihak berkuasa, banjir ini juga disebabkan oleh hotel dan resort yang tidak bertanggungjawab menyalurkan sisa buangan mereka ke dalam longkang yang hanya dibina untuk mengalirkan air hujan.

Tahun lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duerte mengarahkan penutupan Boracay selama 6 bulan untuk tujuan rehabilitasi dan kini pulau peranginan popular berkenaan masih dalam proses pemuliharaan dengan pembinaan jalan utama dan sistem pembentungan yang dijangka siap sepenuhnya tahun 2021.

Dijangkakan, Boracay akan dibuka secara berperingkat kepada pelancong bermula 26 Oktober 2019 manakala fasa kedua pada April dan dijangka dibuka sepenuhnya menjelang akhir 2020.