Cara Dapatkan Duit Syiling RM1 Dan RM10 Yang Baru Sempena Jubli Emas Kuala Lumpur

TERKINI
November 14, 2022 - 04:08 PM


Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Bandar Raya Kuala Lumpur yang ke-50 atau KL50.

Dua jenis nilai syiling tersedia ialah RM1 dan RM10. Namun, orang awam boleh dapatkan set 2 dalam 1 juga di mana ia menyertakan kedua-dua syiling RM1 dan RM10 selain dijual berasingan.

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275sekeping. Sebanyak 1,000 keping telah ditempa.

Ia diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan seberat 31 gram.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Emas Nordic bukanlah emas sebenar sebaliknya diperbuat daripada beberapa jenis logam seperti tembaga.

Reka bentuk

Gambar di bawah ialah rekaan bagi bahagian hadapannya memaparkan pengangkutan moden berasama muka jam Bangunan Sultan Abdul Samad. Ia melambangkan peredaran zaman dialami KL.

Gambar di bawah pula ialah rekaan bagi bahagian belakangnya yang mengandungi logo rasmi KL50, elemen daripada Taman Tasik Perdana dan Istana Negara.

Cara tempah syiling khas KL50

Mulai hari ini hingga 11PM pada 27 November kelak, anda boleh layari  duit.bnm.gov.my dan daftar akaun di sana untuk membeli syiling KL50 ini.

Pastikan anda hanya buat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

Setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada 5 keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Keputusan tempahan yang berjaya akan diumumkan pada 5 Disember 2022. Keputusan tempahan boleh disemak dengan log masuk semula di laman web sama iaitu duit.bnm.gov.my.

Bagi tempahan yang tidak berjaya, pembayaran balik akan dilakukan dalam sekitar 14 hari selepas keputusan diumumkan.