Dari Tarik Kelapa Sawit, Jaga Kambing Dan Bawak Lori, Kini Bergelar Graduan Kelas Pertama Universiti Di UK

TERKINI
July 17, 2019 - 05:59 PM


Renung-renungkanlah, nak berjaya itu bukan mudah namun ianya tidak mustahil, korang yang selalu mengeluh tu eloklah baca kisah barder ni. Dari Tarik Kelapa Sawit, Jaga Kambing Dan Bawak Lori, Kini Bergelar Graduan Kelas Pertama Universiti Di UK.

"Kau asal mana?"

'Subang bang'

"Tak payah bohong, cakap je aku dah tau Kelantan, kuat bau budu''. Satu bilik gelak.

Afiq berseloroh, dia tahu dia 'kantoi' dan aku tahu dia bercanda. Jarang sekali aku dengar, orang asal Subang, tapi bahasa Inggeris nya berloghat Kelantan. 😆

Dan seperti biasa, aku suka untuk tahu latar belakang serta kisah anak-anak Malaysia yang belajar di luar negara. Semua orang ada kisah sendiri. Tambahan kisah-kisah inilah, yang buatkan hidup ini menarik. Ini mungkin cerita biasa bagi kalian, tapi bagi aku, kisah ini istimewa. Perlu aku kongsikan kisah anak muda ini dengan kalian. 

Afiq, budak Kuala Krai dari Kampung Batu Mengkebang adalah legenda hidup yang aku bertuah dapat kenali. Umum, mungkin kerana aku asal bandar, bila dimomok cerita anak kampung berjaya ke menara gading atau berjaya dalam hidup adalah satu cerita klise. Mungkin selama ini aku sendiri tak pernah jumpa, maka penyebab aku tak pandang sebelah mata.

Bila aku teliti, pemegang biasiswa JPA ini punya cerita unik sendiri yang mahu aku tuliskan. Anak pasangan Ismail bin Abas dan Norma binti Abdullah ini merupakan seorang insan biasa, lahir di kampung biasa. Dengan ayahnya punyai kebun kelapa sawit dan kambing sebagai ternakan. Si ibu, suri rumah sepenuh masa dan kadangkala buat kerja sampingan jualan kain di kampung.

"Berapa adik beradik kau?"

'Dua bang, tapi abang saya kelainan upaya. Kaki dia tak kuat macam kita. Jadi saya seorang yang tolong baba jaga kebun dan kambing". 

'Saya dari kecik sekolah asrama bang. Sekolah pondok. Dari darjah empat, jauh sekolah saya, baba hantar untuk saya belajar elok. Boleh ubah nasib keluarga". 

'Masa saya tingkat 1, saya masuk sekolah agama swasta. Baba nak bagi terbaik, dia bayar mahal. Yuran sebulan rm300. Dia kerja keras nak bagi segala yang termampu. Cuma masa saya PMR, saya kena keluar sekolah tu, sebab keputusan saya tak dapat ikut capaian minimum". 

"Berapa kau dapat?"

'4A 4B 1C, masa tu saya sedih sangat. Tak dapat nak banggakan baba dengan umi. Saya anak harapan tapi tak dapat bagi apa-apa. Baba dengan umi ok je, tapi sayalah yang sedih' 

"Habis tu, macamana kau boleh sampai sini (UK)?". 

'Pulun bang, saya pindah sekolah lain, dapat masuk kelas akaun. Dari situ saya dapat rasa, saya minat nombor. Saya tengok matematik saya suka, kira kira saya suka. Bila peperiksaan percubaan saya dapat 9A, semua orang pandang. Masa tu memang saya tak pandang belakang bang. Saya usaha sehabis baik lagi, alhamdulillah SPM saya dapat 10A1B". 

"B apa?"

'Bahasa Arab' aku dengan dia gelak sama-sama. Orang kita, bukan ditanya 10A tu apa, tapi tanya yang B tu dulu.

Dia ada cerita dengan aku, zaman remaja dia memang banyak dibesarkan dengan kerja kebun dan jaga kambing. Asal ada masa cuti sekolah, jarang sekali dia jadi macam remaja lain, bercuti atau ke kelas tambahan. Dia tahu tanggungjawab dia adalah dengan keluarga, susah senang dengan keluarga.

Kalau biasanya, dia akan makan singgang sebagai makanan kegemaran dan lauk ayam bukanlah suatu yang biasa. Bukan kerana tak mampu, tapi dah jadi kebiasaan untuk berjimat, makan biasa atau bukan bermewah. Selalunya cuma nasi lauk sayur dengan ikan kering pun dah cukup lega bagi mereka sekeluarga. 

Selepas keputusan SPM yang cemerlang, dia ditawarkan pengajian A level kelolaan Intec di Shah Alam, selesai A level terus ke University of Essex dalam pengajian Akaun dan Kewangan.

"Lepas kau tahu kau terbang kau buat apa?"

'Ba paling bangga bang, dia tumbang lembu seekor dan kambing seekor. Setakat ni tak ada lagi anak kampung saya terbang gi UK. Senyum sungguh dia. Alang alang dah nazar, saya botakkan kepala'

"Kau suka botak?"

'"Tak bang, tapi dah nazar. Sebab tu masa dekat Intec, saya pakai kopiah. Langsung saya kena panggil budak kopiah. Bila rambut dah panjang, saya free hair 😂😂". 

Aku gelak besar. Ada saja akal budak sekolah agama ni. Ketika belajar di Essex, Afiq bekerja Part time sebagai tukang cuci di Universiti.

"Aku tengok banyak jam kau kerja ni. Dah macam staff sepenuh masa, kenapa?'

" Saya nekad bang, alang alang saya tak balik dua tahun, saya nak umi dengan baba datang masa saya graduation. Bila saya terima ijazah, saya nak umi dengan baba ada ketika itu. Saya harap mereka bangga dengan saya. "

" Maksud kau dengan kerja banyak jam ni?"

" Yalah, saya nak pulun lah kerja banyak bang. Dapat duit. Umi dengan baba tak pernah naik kapal terbang. Saya nak bayar tiket mereka naik flight datang sini, sebagai hadiah buat mereka yang besarkan saya sampai saya berjaya tamatkan pelajaran bang. Seumur hidup, saya hanya nak bagi hadiah terbaik buat mereka. Bukan setakat senggengam ijazah, tapi pengalaman berharga buat mereka untuk dapat tengok anak sendiri terima ijazah"'. 

Aku terdiam. Hadiah apa yang aku pernah bagi untuk mak ayah aku?

**

Hari ini, hari paling gembira buat kedua umi baba Afiq. Dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur dengan bas, singgah dirumah saudara sebelum terbang buat pertama kali di dalam 54 tahun hidup mereka. Dari KLIA pula transit ke Abu Dhabi, lalu Ke Heathrow, hinggalah ke Colchester. Perjalanan paling panjang dari hidup mereka.

(Oh ya, umi baba afiq tak boleh berbahasa Inggeris. Apatah lagi ini kali pertama mereka ke luar negara. Naik kapal terbang pun tak pernah. Jadi Afiq, tumpangkan umi baba nya terbang bersama ibu rakan Afiq yang turut terbang ke mari untuk majlis graduasi. Risau dia kalau nak lepaskan umi baba terbang sendirian). 

Hari ini akhirnya semua jasa umi baba nya terbalas bila dapat tengok anak harapan di atas pentas dengan Ijazah Kelas Pertama. Afiq juga akan mula bekerja di salah satu syarikat perakaunan terbesar di negara (Big Four). Perasaan bangga bukan kepalang. Gugur air mata kedua ibu bapa ini. Moga Afiq terus berpijak di bumi yang nyata dan dapat terus menggembirakan kedua umi dan babanya. 

Dari tarik kelapa sawit, jaga kambing, hingga bawak lori, hari ini, anak itu pegang Ijazah paling berharga. Graduan kelas pertama, kursus Perakaunan dan Kewangan, University of Essex. Balasan buat ayah ibu. Aku tumpang bangga. 

Tahniah! Muhd Afiq

Destination: