Dr MAZA "Mempersilakan" Calon Wanita Dalam Edah Keluar Tinggalkan Perlis!

TERKINI
November 08, 2022 - 02:42 AM


"Beliau perlu segera pulang ke rumahnya!"

Itu nasihat dan saranan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan yang ketika ini sedang berada di Perlis kerana tindakannya melanggar hukum tempoh edah yang ditetapkan syarak.

Beliau berkata, calon terbabit tidak boleh keluar 'bait al-zaujiyyah' atau rumah kehidupan sebagai pasangan suami isteri atau tempat beliau menetap sepanjang tempoh edah jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya.

"Saya juga telah dihubungi oleh calon berkenaan, saya mengatakan kepada beliau, beliau hendaklah pulang ke rumahnya dan jika beliau keluar berkempen saya difahamkan sudah berada di Perlis beliau melanggar hukum hakam syarak," kata Dr MAZA.

Mufti tersebut turut memaklumkan bahawa sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga pernah menghubungi beliau untuk bertanyakan tentang etika berkempen yang boleh dilakukan oleh Datuk Zahida ketika dalam edah.

Beliau memberikan panduan serta saranan bahawa Datuk Zahida boleh berkempen secara online, menerusi rakaman video atau memasang sahaja live-streaming bagi mendekati pengundi di kawasan Parlimen yang ditandinginya.

Tambah beliau, Datuk Zahida tidak mempunyai keperluan untuk keluar ketika dalam edah kerana beliau percaya pekerjaan politik yang sedang dilakukannya ketika ini bukanlah punca pencarian rezeki yang mendesak buat dirinya.

"Wanita di dalam edah boleh keluar jika ada keperluan yang mendesak untuk dirinya seperti suatu pekerjaan yang mana kerja mencari rezeki dalam hidup tapi adakah UMNO atau BN nak menganggap bahawasanya politik ini politik cari rezeki ataupun politik untuk memimpin orang ramai. Kalau untuk memimpin orang ramai adakah tak ada siapa dah? Hanya beliau saja yang boleh memimpin bagi satu-satu kawasan itu? Melainkan kalau kita takdirkan dalam satu keadaan di mana tidak ada satu calon yang dapat memimpin orang Islam ataupun masyarakat, kalau diletak calon lain maka berlakulah mudarat yang besar kepada masyarakat itu bolehlah diadakan kelonggaran dalam hal itu," jelas Dr MAZA.

Ketua Puteri Umno itu yang baru sahaja kematian suaminya pada 20 Ogos lalu sepatutnya menjalani tempoh edah selama 4 bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam Islam.

Namun pada hari pencalonan Sabtu lepas, wanita itu dilihat hadir di pusat penamaan calon di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Padang Besar dengan berpakaian hitam serta bertudung biru.

Menganggap tindakan Datuk Zahida itu sebagai kekhilafan dari seorang manusia, Datuk Dr Mohd Asri tetap yakin dan percaya beliau akan pulang ke rumah perkahwinan yang didiami bersama arwah suaminya sebelum ini di Kuala Lumpur.

"Saya bersangka baik beliau akan pulang ke rumahnya kerana itu sebagai satu orang wanita Muslimah saya percaya beliau akan mematuhi hukum syarak itu. Itu dulu kepercayaan saya. Tapi kalau beliau tidak pulang saya rasa tak lah kot, kalau tak pulang saya rasa amat tak wajar. Kalau perkara seperti itu satu orang calon tak dapat mendisiplinkan dirinya bagaimana rakyat nak beri sokongan pada orang yang gagal menghormati rumah perkahwinannya", tambah beliau ketika ditemubual secara eksklusif di rumahnya di Padang Besar, Perlis.

Destination: