Fenomena Unik 'Laut Terbelah', Tanjung Rhu Langkawi Kena Serbu Pelancong!

TRAVEL
February 23, 2023 - 02:52 PM


Sekali dalam setahun pulau lagenda terkenal di utara tanah air iaitu Langkawi pasti menjadi tumpuan dan diserbu oleh ribuan pelancong yang tidak mahu melepaskan peluang bagi menyaksikan sebuah fenomena unik yang dipanggil "Laut Terbelah"!

Fenomena itu berlaku susulan air laut yang surut sehingga 0.1 meter menyebabkan terjadinya beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu, Pulau Langkawi.

Ia membolehkan orang ramai berjalan hingga ke Pulau Kelam Baya yang biasanya hanya boleh diakses menggunakan bot.

Fenomena unik selama sejam itu berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi semalam (22 Feb) dan pukul 6.45 pagi kelmarin (21 Feb).

Seramai kira-kira 3,000 pelancong dari serata negara mengerumuni lokasi di Tanjung Rhu untuk menyaksikan sendiri fenomena laut terbelah itu.

PERKONGSIAN PENGALAMAN PENGUNJUNG

Pemandu pelancong alam se­mula jadi, Zoher Mustan, 58, berkata, lebih ramai pelancong datang menyaksikan fenomena itu tahun ini berbanding tahun lalu.

“Semalam (kelmarin) kira-kira 1,000 pelancong datang untuk berjalan atas beting pasir ini dan hari ini jumlah itu meningkat dua kali ganda,” katanya.

Seorang pengunjung, Umira Morad, 33, berkata, dia pertama kali datang melihat beting pasir walaupun tinggal di Ayer Hangat, tidak jauh dari pantai tersebut.

“Saya bawa sedikit bekalan makanan untuk berkelah atas beting pasir bersama anak-anak. Kebetulan pula fenomena ini terjadi semasa cuti sekolah, jadi dapatlah anak-anak melihat sendiri fenomena ini,” ujarnya.

Seorang pemandu bot pelancong, Hisham Ismail, 42, berkata, dia diminta oleh pihak hotel berdekatan untuk bersedia de­ngan bot bagi kawalan keselamatan selama dua hari.

“Syukur tiada sebarang kemalangan berlaku, tetapi kami bersedia di bahagian kiri be­ting pasir ini kerana kawasan ini agak dalam dan mengingatkan pengunjung untuk tidak berjalan terlalu ke tepi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Seorang pelancong dari Sela­ngor, Zahirah Sulaiman, 33, berkata, dia teruja apabila dapat berjalan di atas beting pasir sehingga ke tengah laut.

“Kami kena cepat, kerana ia berlaku selama sejam sebelum paras air laut naik semula. Seronok tengok hidupan laut terdampar di sepanjang be­ting pasir ini,” ujarnya.

Gambar Atas: Semasa Fenomena Laut Terbelah
Gambar Bawah: Pemandangan Laut Biasa

Sumber: KOSMO! ONLINE

Destination: