"Gila! Ini Cikgu Ke Vampire?" - Budak 6 Tahun Trauma Digigit Guru

TERKINI
July 10, 2023 - 02:18 PM


Seorang murid enam tahun berasa trauma setiap kali ke sekolah gara-gara selalu digigit gurunya. Perkara tersebut didedahkan oleh ibunya sendiri menerusi hantaran di Facebook semalam.

Kata wanita yang menggunakan akaun Eyma Zaideen itu, anaknya selalu bertanya soal cuti sekolah dan wajah anak kecil itu tidak seceria dahulu apabila tiba hari persekolahan.

Eyma berkata anaknya mengeluh setiap kali cuti hujung minggu tamat dan akan tanya bila cuti sekolah yang seterusnya.

"Mama jawablah baru sahaja habis cuti tanya bila cuti lagi budak ini nak kena cubit kat mama ni. Abang Cik pergi sekolah macam biasa setiap kali balik rumah selalu muram macam tak seronok seperti budak lain dan lain sangat muka setiap kali nak pergi dan balik sekolah" tulisnya.

Tambah beliau, sebagai seorang ibu pastinya peka dengan perubahan tingkah laku anaknya dan boleh merasakan sesuatu yang tidak baik sedang berlaku.

"Saya sebagai ibu boleh rasa macam ada sesuatu tak kena sebab Abang Cik jenis tak beritahu apa-apa terjadi dekat sekolah sebab dia jenis pendam orang kacau dia ke apa.

"Pertanyaan Abang Cik ni berlarutan setiap kali nak mula sekolah, jadi lama-lama saya macam pelik ada masalah apa anak aku ni. Setiap kali nak pergi sekolah macam monyok (suram). Jadi balik Abang Cik dari sekolah dengan muka sedih baru lepas menangis, saya tanya kenapa balik menangis ada kawan-kawan buli ke?" soal Eyma.

Jawapan yang diberi anaknya itu betul-betul mengejutkan apabila dia mendakwa seorang guru lelaki di sekolahnya tanpa segan menggigit beberapa anggota badan kanak-kanak tersebut.

"Mama, Abang Cik tak tahan dah nak pergi sekolah, nak tukar sekolah. Cikgu selalu gigit bibir Abang Cik lepas tu dia tarik panjang-panjang. Sakit sangat mama. Dah la gigi cikgu kuning dan mulut hitam Abang Cik geli. Kadang cikgu gigit telinga dan hidung juga dan hari ini dia gigit bibir dan hidung" luah anaknya.

Dia yang mendengar luahan itu terkejut dan tidak percaya dengan kata-kata itu pada awalnya. Namun selepas bertanya kepada abang dan kakaknya yang bersekolah di tempat yang sama, jawapan mereka ya dan cikgu itu yang biasa disapa 'Cikgu Nor' popular dekat sekolah yang suka gigit budak. 

"Semua budak tengok dia akan lari ketakutan takut kena pegang dan gigit.

"Ini bukan seorang pendidik gila macam 'vampire', ibu bapa lain mungkin boleh senyap tapi tidak dengan aku, maaf-lah. Tunggu kau Cikgu Nor" tegas Eyma.

Sementara itu, menerusi hantaran lain yang dimuat naik beliau, dia mendakwa perbuatan terkutuk guru tersebut tidak hanya berlaku kepada anaknya, malah beberapa pelajar lain turut menjadi mengsa 'Cikgu Nor' termasuk kanak-kanak perempuan.

Sumber berita : Kosmo!