"Giler! Harga Barang Naik Lagi?" - Rakyat Bakal Alami Peningkatan Kos 20 Peratus Ogos & September Ini

TERKINI
July 10, 2023 - 03:46 PM


Dalam keadaan yang menekan begini harga barangan dijangka meningkat lagi sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Ahli perniagaan di luar sana telah menganggung pelbagai risiko dalam kesulitan kenaikan harga barangan. Ramai yang mula merasa rungsing terhadap kos kenaikan harga barang dan dalam masa sama terpaksa mencari juga keuntungan bagi memastikan perniagaan terus bertapak dan maju.

Naik Sampai 20 Peratus

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan berkata pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI Januari lalu.

Peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat sehingga terjadi inflasi import pada kadar tinggi.

"Sejak Januari hingga Julai tahun ini, kejatuhan ringgit bermula pada kadar RM4.20 berbanding dolar AS dan sekarang RM4.60 berbanding dolar. Peningkatan sebanyak 10 peratus berlaku terhadap kemerosotan ringgit.

"Sudah pasti ia akan meningkatkan kos pengeluaran. Sepanjang rantaian bekalan sudah menyaksikan peningkatan kos dan akhirnya, kesan ini akan mengakibatkan produk pengguna rantaian terakhir bekalan turut meningkat. Maka pengguna akan menghadapi kesan inflasi import apabila harga barangan naik" kata Nivas kelmarin.

Tambahnya lagi, kesannya adalah harga barangan akan naik pada suku tahun ketiga sekurang-kurangnya 20 peratus. Jika sebelum ini ada satu produk dijual pada RM10, ia akan meningkat kepada RM12 hingga RM12.50.

"Sudahlah Gaji Minimum Naik, Harga Barangan Pun Naik"

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang dihubungi media berkata kenaikan harga barang dijangka mula berlaku Ogos dan September tahun ini.

"Saya menjangkakan harga barangan peringkat pengguna meningkat 5 hingga 10 peratus. Lazimnya produk yang diimport memerlukan masa untuk sampai ke negara ini. Jadi saya jangkakan menjelang Ogos atau September peningkatan harga peringkat pengguna itu mungkin berlaku" ujar beliau.

Tambah Ameer, kenaikan harga barangan juga berpunca akibat peingkatan kos operasi dalam pelbagai sektor pengeluaran susulan polisi kerajaan menaikkan kadar gaji minimum.

"Peningkatan harga barangan peringkat pengguna ini bukan saja didorong faktor kelemahan ringgit berbanding dolar dan inflasi import. Ia juga akibat kos menjalankan perniagaan di Malaysia sudah meningkat.

"Ini termasuk gaji minimum yang naik, bil utiliti dan lain-lain lagi. Apabila kos menjalankan perniagaan meningkat, sudah tentu ia akan meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya harga barangan peringkat pengguna" jelas Ameer pada media.

Sumber berita : Utusan