Insiden Lelaki Ditikam Di Klinik Kesihatan Seberang Takir, Anak Mohon Jangan Sebarkan Video Arwah

TERKINI
August 11, 2023 - 05:59 PM


Keluarga kepada lelaki yang ditemukan mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus semalam meminta orang awam berhenti menyebarkan gambar berhubung kejadian itu.

Muhammad Nashar Fikri, 20, yang juga anak sulung kepada mangsa, Mohd Latif Idris, 51, juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

"Saya mohon jasa semua berhenti sebarkan video itu dan kami (keluarga) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini hari ini.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, arwah bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu sambil menyifatkan arwah seorang yang penyayang.

Katanya, menjadi kebiasaan mereka sekeluarga keluar menghabiskan masa bersama setiap hujung minggu.

"Ayah macam biasa, tidak nampak apa-apa perubahan cuma pada hari kejadian, dia ada pesan bagi tahu adik mahu pergi jauh, tak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami.

"Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa ayah, kami semua reda dengan ujian Allah SWT," katanya.

Sumber dan kredit: Harian Metro

Destination: