Jangan Muat Naik Gambar Tak Senonoh Atau Minum Arak Di Festival Songkran Kalau Tak Nak Dipenjara Atau Denda Sehingga RM65,000!

TERKINI
April 12, 2019 - 10:49 AM


Ini peringatan kepada pelancong yang meraikan Festival Songkran di Thailand, bermula esok hingga 16 April!

Anda diminta untuk berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar atau video yang mengandungi unsur tidak bermoral dan tidak sesuai untuk tatapan umum.

Ini kerana pihak berkuasa Thailand kini telah bersiap-siaga memantau media sosial sepanjang pesta air itu berlangsung.

Jika dikesan ada individu tidak kira warga tempatan atau pelancong asing, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda sebanyak 100,000 Baht atau RM13,000 mengikut Akta Komputer negara tersebut.

Manakala kepada sesiapa yang mengambil gambar atau merakam video juga boleh dikenakan denda sebanyak 500 Baht atau RM65 di bawah Seksyen 388 Kanun Jenayah.

Para pengunjung diberi amaran supaya jangan ambil mudah peraturan itu kerana pihak berkuasa negara ‘Gajah Putih’ itu mampu untuk mengesan individu yang memuat naik gambar atau video dengan hanya mengimbas muka mereka dalam gambar yang dimuat naik di media sosial.

Bukan itu sahaja, malah bagi memelihara dan menghormati adat serta budaya perayaan masyarakat Buddha itu juga, mana-mana individu yang didapati membuat undangan di media sosial mengajak orang ramai untuk meminum arak, mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda maksimum sebanyak 500,000 atau RM65,000 di bawah Akta Kawalan Minuman Alkohol.

Memetik laporan The Nation, Jurucakap & Timbalan Komander Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi, Kolonel Siriwat Deepor berkata sebelum ini terdapat banyak gambar yang tidak sesuai untuk tontonan umum dikongsi dalam media sosial.

Justeru, beliau menyeru semua pengunjung untuk berkelakuan sopan ketika festival berlangsung dan tidak melanggar sebarang undang-undang negara berkenaan.

Sumber: The Nation

Baca juga: Lupakan Bangkok, Jom Ke 3 Destinasi Baru Untuk Songkran 2019