Hati-Hati Jika Ke Korea Bawa Produk Berasaskan Haiwan, Atau Anda Bakal Didenda Hingga RM35,000!

TERKINI
June 25, 2019 - 11:35 AM


Bermula awal bulan ini, pelancong yang tiba di Korea Selatan tanpa mengisytiharkan perkara yang tertakluk dalam kuarantin seperti haiwan, ternakan dan produk haiwan boleh didenda sehingga 10 juta Won atau RM35,867!

Sejak penyebaran wabak penyakit African Swine Fever (ASF) di negara-negara berdekatan, denda maksimum itu telah dinaikkan daripada sejuta Won kepada 10 juta Won bagi mengelakkan virus tersebut memasuki Korea.

Menurut Badan Kuarantin Haiwan dan Tumbuhan Korea, pelancong dari negara-negara yang terjejas oleh ASF seperti China, Vietnam, Mongolia, Kemboja, Rusia, Republik Czech, Hungaria, Itali dan banyak lagi, harus mengisytiharkan daging babi dan produk ternakan yang berkaitan.

Jika ditangkap tanpa mengisytiharkan, denda pertama adalah 5 juta Won, denda kedua dinaikkan menjadi 7.5 juta Won dan denda paling maksimum ialah 10 juta Won.

Bagi mereka yang ditangkap tanpa mengisytiharkan produk haiwan lain seperti daging lembu, daging kambing, daging ayam dan banyak lagi, denda pertama ialah 1 juta Won, denda kedua ialah 3 juta Won dan denda maksimum sebanyak 5 juta Won.

ASF adalah penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi ternakan dan babi liar dan sehingga 30 Mei tahun ini, lima wabak ASF dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja dan Korea Utara.

Berikut merupakan senarai barangan yang tertakluk kepada kuarantin:

HAIWAN: anjing, kucing, burung dan lain-lain

PRODUK TERNAKAN: Daging lembu, daging babi, ayam, itik, sosej, ham, daging dalam tin, daging rebus, produk daging diproses (kari) dan lain-lain.

PRODUK HAIWAN: Antlers, tulang, bulu dan sebagainya.

PRODUK TENUSU: Susu, keju, mentega dan lain-lain.

PRODUK TELUR: Telur ayam, telur burung, putih telur, serbuk telur dan lain-lain.

Untuk sebarang maklumat lebih terperinci, anda juga boleh layari laman web berikut:

- Badan Agensi Kuarantin dan Tumbuhan: www.qia.go.kr 

- Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon: www.airport.kr 

- Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju: www.airport.co.kr/jeju 

- Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo: www.airport.co.kr/gimpo

Atau hubungi 1330 Korea Travel Hotline: +82-2-1330 (Korean, English, Japanese, Chinese, Russian, Vietnamese, Thai, Malay)

Destination: