Jiran Dedah Tomboy Dera Kanak-Kanak Kerana Degil

TERKINI
August 14, 2023 - 11:12 AM


Beberapa hari yang lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan beberapa video yang dirakam oleh jiran-jiran yang sangat prihatin di Bandar Layangkasa, Johor. Video tersebut telah membongkar penderitaan seorang kanak-kanak lelaki yang disyaki menjadi mangsa dera ibu kandung dan kenalannya, seorang pengkid.

Video yang memaparkan beberapa orang jiran yang bertindak untuk menyerbu rumah yang didiami pasangan itu setelah beberapa kali mendengar tangisan dan makian yang diterima oleh kanak-kanak tersebut hangat diperkatakan netizen. Berdasarkan video, jelas memaparkan keadaan si anak yang terluka teruk akibat didera oleh mereka.

Seorang jiran, Wan Noor Badri Wan Yahya, 38, berkata mereka pada asalnya berbincang hanya untuk mendapatkan jawapan apa yang sebenarnya berlaku selepas kira-kira sebulan mendengar kanak-kanak itu sering menangis kerana dimarahi hampir setiap hari.

Bagaimanapun, mereka tidak menyangka selepas melihat keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu yang penuh dengan kesan kecederaan dan menyifatkan kes itu sebagai kes dera sebaik menyerbu rumah kanak-kanak itu pada kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

"Sejak kanak-kanak itu bersama ibunya dan kenalan yang kami sangkakan 'suami' wanita itu berpindah menyewa di rumah berkenaan April lalu, kanak-kanak itu selalu ditinggalkan berseorangan di rumah ketika dua wanita itu pergi kerja yang difahamkan di Singapura.

"Kanak-kanak itu dilihat hanya dibenarkan bermain dalam kawasan pagar rumahnya, sehinggalah pada akhir Jun lalu, kanak-kanak itu terlepas bermain sehingga ke luar kawasan perumahan.

"Sejak itu, kami sering mendengar kanak-kanak itu dimarahi, dipukul dan dimaki hamun. Namun, sejak dua minggu lalu, keadaan semakin teruk kerana kadang-kadang anak itu menangis sehingga tidak bersuara dan ada yang pernah nampak dia dipukul menggunakan rotan," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di hadapan lokasi kejadian di sini, hari ini.

Wan Noor Badri yang sudah tinggal di kawasan itu selama tujuh tahun berkata, keluarga berkenaan tidak banyak bercampur dengan jiran di taman perumahan itu. Ketika menyerbu rumah itu, Wan Noor Badri berkata, 'tomboy' terbabit masih lagi berlagak seperti dirinya seorang lelaki dan memaklumkan dia memarahi kanak-kanak dikenali sebagai Iman itu kerana itu caranya mengajar anak.

"Namun tomboy itu warga asing itu meminta maaf dan memberitahu dia memarahi Iman kerana kanak-kanak itu degil," katanya. Bapa dua anak itu berkata, jiran di kawasan perumahan itu sememangnya rapat dan mereka yang bersatu dalam Persatuan Penduduk Bandar Layangkasa aktif menerusi aplikasi sembang WhatsApp untuk sentiasa mengambil maklum perihal kejiranan kawasan berkenaan.

"Kami di kawasan ini memang rapat dan selalu bincang pasal keadaan kejiranan kerana mahu kawasan ini selamat dan harmoni.

"Selama ini kami tidak pernah berdepan sebarang masalah seperti ini," katanya.

Pada masa sama, seorang lagi jiran, Firdaus Abu Hassan, 30, berkata mereka sebagai jiran bersyukur apabila berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan daripada terus menjadi mangsa dera.

"Kalau lihat keadaan mangsa, penuh kecederaan di seluruh badan termasuk kaki dan tangan. Bayangkan kalau kita sebagai jiran tidak bertindak awal kami akan terkilan," katanya.

Sumber dan kredit: Harian Metro

Destination: