Kawasan Pelancongan Kulinari Melaka Dibuka Ogos Ini
TERKINISelain terkenal sebagai sebuah Bandaraya Bersejarah hingga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Melaka juga sangat popular dengan kelazatan pelbagai juadah makanan tradisi yang selalu menjadi viral di media sosial.
Oleh itu, tak hairanlah sekiranya Melaka bakal membangunkan kawasan pelancongan kulinari di Menara Taming Sari, Bandar Hilir, sebagai satu daripada produk pelancongan baharu di negeri tersebut.
Kawasan itu nanti akan menempatkan kira-kira 18 pengusaha produk pelancongan tempatan, khususnya makanan tradisi masyarakat atau etnik Melaka bertujuan mempelbagaikan subsektor pelancongan negeri tersebut khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2019.
Ia dijangka dibuka secara rasmi pada Ogos ini serta mampu menempatkan lebih 100 pengunjung pada satu-satu masa untuk menjamu selera di situ.
Kawasan pelancongan kulinari itu juga bukan sahaja dapat mempromosikan makanan tradisi atau warisan tempatan kepada pelancong, malah memastikan makanan tersebut dapat terus diketengahkan untuk generasi muda akan datang.
Keunikan masyarakat di Melaka yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Serani serta Baba Nyonya menghasilkan pelbagai menu dan juadah tradisi istimewa seperti Asam Pedas, Cencaluk, Nasi Kunyit, Mee Sua Tau, Nyonya Laksa, Ang Ku Kueh dan Keria Gula Melaka.
Sumber: Bernama