Kes Demam Babi Afrika Dikesan Di Ladang Port Dickson. Selamat Ke Nak Bercuti Sana?

TERKINI
January 30, 2023 - 02:22 PM


Baru-baru ini, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan mengesan wujudnya penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, kes positif itu dikesan selepas sampel dua ekor babi diambil daripada 275 ekor haiwan itu di ladang berkenaan Khamis lalu.

Sampel itu telah diambil Jumaat lepas dan disahkan positif ASF pada petangnya.

Justeru kini timbul tanda tanya adakah kawasan pantai peranginan popular itu selamat untuk dikunjungi dan bermandi-manda di PD?

Tampil menjelaskan kebimbangan orang awam tersebut, Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan penyakit ASF itu adalah penyakit bukan zoonotik dan ia tidak menjangkiti manusia.

Sehubungan itu, orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Port Dickson.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, surat pemakluman yang dikeluarkan bertarikh 10 Januari 2023 tentang kematian haiwan itu  bertujuan untuk memaklumkan kepada orang awam dan pemain industri setelah pengesahan ke atas sampel tulang daripada bangkai babi terbabit.

Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh JPVNS untuk membendung perebakan penyakit ASF di Negeri Sembilan.

Namun, mereka mengambil maklum terdapat kekeliruan yang tular baru-baru ini berkaitan penyakit ASF dan memohon jasa baik semua pihak agar tidak menularkan berita yang tidak tepat dan segera merujuk kepada DVS bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Orang awam boleh merujuk kepada poster atau video yang telah dihebahkan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penyakit ini.

Sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal.

Tiada lagi laporan kematian pada babi hutan mahupun ternakan babi komersil berikutan kejadian kes ASF di Negeri Sembilan.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: