Pantai PD Dicemari Sampah Semula! Baru 'Bebas' Sikit, Dah Mula Perangai Balik!

TERKINI
June 23, 2020 - 12:30 PM


Banyak destinasi pelancongan dalam dan luar negara yang dilaporkan semakin bersih dan pulih daripada pencemaran akibat tangan-tangan manusia selepas mereka diarahkan berkurung bagi membendung penularan COVID-19.

Ramai juga yang teruja melihat gambar-gambar viral di media sosial bukti bahawa alam dan bumi semakin sembuh seperti sedia kala.

Namun malangnya, proses 'muhasabah diri' manusia ini tidak bertahan lama apabila sebaik perintah berkurung dilonggarkan sedikit mereka nampaknya sudah mula kembali kepada habit lama iaitu suka mencemarkan alam sekitar.

Contohnya seperti apa yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan seperti yang dikongsikan oleh Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini di mana sampah didapati dibuang merata-rata oleh orang awam yang mengunjungi pantai tersebut susulan Kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu nyata mengecewakan ramai pihak yang sebelum ini turut bersyukur di atas hikmah PKP apabila kawasan tersebut disinggahi oleh hidupan laut iaitu ikan lumba-lumba yang jarang kelihatan sebelum ini namun didapati sudah berani bermain berdekatan pantai Port Dickson.

ARTIKEL TERDAHULU: Lagi Hikmah PKP, Kali Ini Ikan Lumba-Lumba Pula Muncul Di Port Dickson

Sikap tidak bermoral itu bukan sahaja menyakitkan mata, malah menjejaskan pemandangan indah pantai yang sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan di Negeri Sembilan.

Foto pantai yang dicemari dengan sampah-sarap itu turut dikongsikan oleh pengguna di media sosial.

Sebagai warganegara adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kebersihan dan kesejahteraan alam semulajadi yang dimiliki demi kepentingan bersama.

PS: Walaupun mungkin kita sedang teruja dan seronok dapat kembali Cuti-Cuti Malaysia, namun hargailah khazanah alam yang diberi Tuhan. Jangan hilang, baru menyesal!

 

Destination: