"Orang Datang PD Nak Tengok Laut, Bukan Khemah Biru Tu" - Pengunjung 'Frust', Port Dickson Makin Lengang & Suram!

TERKINI
March 02, 2023 - 03:06 PM


Setiap kali tibanya cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah -- pantai peranginan popular Port Dickson di Negeri Sembilan pasti menjadi antara salah satu lokasi yang padat serta dipenuhi pengunjung terutama dari ibu kota Kuala Lumpur.

Selain memiliki pantai yang indah dan berdekatan dengan laut, jarak Port Dickson yang tidak begitu jauh dengan Lembah Klang juga membuat ramai yang gemar memilih PD sebagai tempat untuk membawa keluarga berpiknik atau lepak-lepak santai tepi pantai bersama kawan-kawan.

Namun baru-baru ini tular di media sosial beberapa keping gambar yang menunjukkan Port Dickson didakwa semakin lengang dan suram kerana ketiadaan pengunjung.

Menerusi thread yang dimuatnaik oleh Bernama -- difahamkan perkara berkenaan timbul susulan terdapat segelintir pengunjung yang merungut bahawa mereka tidak selesa dengan pemandangan deretan khemah-khemah sewa berwarna biru yang disusun di sepanjang persisiran pantai.

Ini kerana dakwa mereka, perkembangan terbaharu di Port Dickson itu nyata menghampakan apabila mereka dikatakan tiada tempat untuk membentangkan tikar bagi berkelah bersama keluarga memandangkan semua ruangan telah diambil oleh penjaja khemah biru tersebut.

Malah ada juga yang memberitahu bahawa kadar sewaan khemah itu pun agak mahal dan tidak berbaloi untuk disewa pengunjung.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika memberi maklum balasa mengenai keadaan di Port Dickson itu bagaimanapun tidak menolak musim peperiksaan awam sekolah yang sedang berjalan ketika ini dilihat antara punca pantai peranginan itu kurang pengunjung walaupun pada waktu cuti persekolahan.

Malah jelasnya, cuti persekolahan kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana turut berlangsungnya peperiksaan melibatkan pelajar dan guru-guru.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengingatkan kepada pengusaha sewaan khemah di pantai peranginan Port Dickson supaya sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, ia berikutan masih terdapat pengusaha yang tidak mengikut peraturan tersebut.

โ€œKita benarkan mereka menyewakan khemah-khemah kepada pengunjung tetapi mestilah mengikut peraturan iaitu tidak memaksa orang untuk menyewa.

"Selain itu, apabila khemah berkenaan tidak digunakan, ia mestilah ditutup semula. Sekarang mereka salah guna, pasang khemah dulu. Itu masalahnya. Kalau di Thailand pun ada khemah macam itu, tetapi kalau ada yang nak baru buka," katanya.

Destination: