"Giler Cekik Darah" - Kedai Makan Di PD Caj Air Suam Sampai RM2!
TERKINIGiler cekik darah! Air suam RM2 dan air kosong RM1!
Itu caj yang didakwa dikenakan oleh sebuah restoran di Port Dickson, Negeri Sembilan -- yang disifatkan netizen tidak masuk akal.
Resit berkenaan dikongsi seorang pelanggan dalam hantaran Facebooknya pada Selasa dan telah dikongsi seramai 208 pengguna setakat jam 7 petang Selasa sehingga menjadi tular.
Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM102.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika pergi makan di kedai berkenaan yang terletak di Port Dickson.
"Kalau siapa yang ke PD, hati-hatilah ada satu kedai makan di...kedai nombor... janganlah berniaga cekik darah.
"Makan berempat, nasi campur je...nak cepat kaya agaknya. Rupanya bila saya semak dalam web...ramai yang dah terkena," tulisnya.
Pemilik akaun menggunakan nama N'sa Saliza di ruangan komen berkata, jika di tempat lain, pemilik restoran hanya sedekah air kosong kepada pelanggan.
Tulis Sharifah Fazilah Syed Agil Al Qadri pula, "air kosong tu boleh saja charge kerana nak guna gas dan air. Semua tu guna duit, tapi tidaklah sampai RM1".
Panda Panda Doremon menulis, "Air kosong sampai RM1...air ruqyah barangkali" dan Jasmin Mynn pula "Gila-gila mahal air kosong pun RM1".
Selain itu pemilik akaun menggunakan nama Zulkarnaen Zakaria menulis, "Air suam sama harga nasi".
Pada ruangan komen ada netizen memberitahu restoran terbabit terkenal dengan harga mahal dan pernah dikenakan tindakan sebelum ini.
Untuk rekod -- sebuah kedai makan di Medan Selera Seri Bayu pernah dikompaun apabila mengenakan caj untuk segelas teh o ais dengan harga sehingga RM5!
Sumber: Sinar Harian