[VIDEO] Mainan Viral Lato-Lato Rupanya Bahaya, Dah Ramai Cederakan Budak. Terbaru Mangsa Parah Di Sabah!

TERKINI
January 31, 2023 - 12:13 PM


Selepas insiden demi insiden menimpa kanak-kanak di Indonesia mengalami kecederaan bermain permainan tradisional Lato-Lato yang semakin popular ketika ini -- terbaharu, seorang budak lelaki dari Ranau, Sabah juga tercedera ketika bermain permainan tersebut pada Khamis.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di halaman Facebook Odu Leesa, seorang kanak-kanak lelaki dilihat mengalami kecederaan di hidung selepas bola keras permainan itu mengenai hidungnya.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku di Ranau, Sabah berdasarkan laporan media Daily Express di samping kedengaran bahasa yang dituturkan sedikit berbeza.

Berdasarkan rakaman itu, kanak-kanak terbabit dilihat menangis dengan darah mengalir dari hidung kanannya sebelum seorang lelaki dewasa mengesat darah berkenaan.

Lato-Lato merupakan permainan yang memerlukan kemahiran untuk menghayunkan dua biji bola supaya mengeluarkan bunyi, namun boleh memudaratkan pemain dan orang di sekitar jika tersilap cara.

Selain itu, tinjauan Daily Express turut mendedahkan bahawa guru di sekolah juga tidak membenarkan pelajar membawa permainan itu ke sekolah kerana ia tiada kaitan dengan aktiviti pembelajaran positif di sekolah.

Beberapa ibu bapa turut melahirkan kebimbangan dan berharap Lato-Lato diklasifikasikan sebagai permainan terlarang kerana ia memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada fizikal kanak-kanak malah membebankan kos ibu bapa.

Ketika sesi persekolahan disambung semula pada Rabu selepas perayaan Tahun Baharu Cina yang panjang, didapati beberapa sekolah mengambil keputusan untuk melarang pelajar agar tidak bermain lato-lato atau membawanya ke sekolah.

Melalui satu pesanan ringkas yang diberikan kepada ibu bapa, pihak sekolah memberikan pesanan akan mengambil tindakan tegas jika pelajar membawa mainan itu ke kawasan sekolah sama ada waktu atau petang.

Sumber: Majoriti

Destination: