[VIDEO] 'Seriau Tengok!' : 2 Kanak-Kanak Selamba Main Tepi Balkoni Kondo, Ibu Bapa Tak Perasan Kena Siasat Polis!

TERKINI
October 26, 2022 - 04:35 PM


Sejak pagi Rabu (26 Oktober) -- pengguna media sosial dikejutkan dengan video dua kanak-kanak yang dirakam bermain di tepi balkoni tingkap sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam rakaman video 10 saat yang mendebarkan itu dapat dilihat seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun dan bayi lelaki berusia 2 tahun sedang bermain-main di tepi balkoni yang tinggi tanpa pengawasan orang dewasa.

Video tersebut sempat dirakam oleh individu yang duduk berhadapan dengan blok kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan hasil siasatan polis mendapati ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di dalam rumah, namun tidak menyedari kejadian yang berlaku.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata ibu bapa kanak-kanak itu telah dipanggil Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

"Difahamkan kedua-dua mereka telah dibenarkan pulang dan pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Sumber: Majoriti

Destination: