"Kesalahan Yang Sama Macam Bainun!" - Teman Lelaki Dera Anak Kecil Sampai Lebam Mengaku Tidak Bersalah

TERKINI
June 15, 2023 - 04:12 PM


Awal bulan ini, viral satu kes dera yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun 11 bulan yang didera oleh teman lelaki ibunya sendiri. Ini update kes tersebut.

Seorang lelaki dikenali sebagai Amir Shafiq yang sebelum ini diburu polis kerana mendera anak teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh Amir Shafiq atau nama sebenarnya Amir Shafiq Shuaimy, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan dan penyangkut baju sehingga mendatangkan kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Desa Rejang, Setapak di sini antara 4 hingga 7 Jun lalu.Teman wanita suspek, yang juga ibu kandung kepada kanak-kanak itu, turut didakwa dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman menawarkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan dilarang menganggu saksi-saksi pendakwaan serta mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan dia yang sudah berkahwin menanggung empat orang anak selain isterinya sedang mengandung anak kelima.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan dengan dua penjamin serta menetapkan syarat-syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 11 Julai ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Destination: