Kisah Disebalik Tugu Anjing Bernama Ben di Kem Tentera Ulu Tiram Yang Ramai Tak Tahu

TERKINI
May 14, 2019 - 01:19 PM


Jika di Jepun ada kisah anjing Hachiko. Ramai tidak tahu kisah anjing bernama Ben di Malaysia yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia dan terkorban sewaktu bertugas.

KISAH SEDIH 'BEN' YANG MERANGKAK DI KAKI TUANNYA SEBELUM MATI AKIBAT DITEMBAK KOMUNIS

Pada 18 Apr 1974, sekumpulan 30 orang anggota komando termasuk Ben dari PULADA yang diketuai Lt Zainal Abidin Husin telah diterbangkan dengan dua buah helikopter Nuri ke Hutan Simpan Kinta, Perak dari Kem Sungai Udang, Melaka. Misi mereka adalah untuk memburu pengganas komunis yang dikesan berada di situ.

Keesokan harinya ketika sedang melakukan pemburuan tersebut, pasukan Lt Zainal telah ditembak bertalu-talu oleh gerombolan pengganas yang berjaya mengesan kehadiran mereka. Sebenarnya, Ben terlebih dahulu mengesan pergerakan pengganas komunis ini dan 'memberitahu' tuannya, Sjn Chandan. Ben yang ketika itu bersama Sjn Chandan tiba-tiba berhenti berjalan dan duduk, seolah-olah dapat menghidu kehadiran musuh. Malang sekali tak sampai beberapa saat mereka terlebih dahulu diserang.

Mangsa pertama yang menjadi sasaran pengganas komunis adalah Ben. Ini kerana mereka tahu Ben sangat mahir dalam hutan dan sangat bahaya untuk membiarkan Ben hidup. Bersembur darah Ben bila tubuhnya dihujani peluru musuh. Dalam masa yang sama pasukan Lt Zainal membalas tembakan. Namun sayang sekali Ben tidak mampu bertahan lama, tubuhnya tidak mampu lagi menahan kesakitan akibat tembakan menggila pihak musuh.

Sebelum mati, Ben merangkak perlahan-lahan dan menghulurkan kakinya pada tuannya, Sjn Chandan. Ben seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir pada tuannya itu. Ben akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Sjn Chandan.

Keesokan harinya Ben berjaya dikeluarkan dan dibawa balik ke PULADA untuk disemadikan di sana. Sehingga sekarang 'kubur' Ben masih ada di kem itu yang terletak di Ulu Tiram, Johor.

INFO:- Ben adalah anjing perang baka Labrador yang cukup ditakuti pengganas komunis di zaman kegemilangannya. Walaupun hanya seekor binatang, jasa Ben pada negara sangat besar ertinya.

Source: Pn.Azarimah Ismail