Kucing Kesayangan Antara Pewaris Kekayaan Bernilai 200 Juta Karl Lagerfeld

TERKINI
February 21, 2019 - 10:59 AM


Untuk yang belum kenal siapa Karl Lagerfeld, beliau adalah pereka fesyen terkemuka dan Lagerfeld,85 tahun meninggal dunia pada awal pagi Selasa lepas di Paris.

Karl Lagerfeld dikhabarkan mempunyai kekayaan bernilai 200 Juta USD (RM 815 Juta) dan merupakan direktor kreatif untuk 3 jenama iaitu Chanel, Fendi dan Karl Lagerfeld sendiri.

April lalu, dalam satu temubual bersama majalah Romero, Lagerfeld bercerita yang pihak hospital telah melakukan segala jenis ujian dan tidak menjumpai apa-apa masalah tentang kesihatan dirinya dan sempat berseloroh supaya panggil semula dirinya untuk ditemubual dalam masa 10 tahun lagi dan cerita yang sama akan diceritakan.

Namun, pagi Isnin Lagerfeld dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia di sana. Punca utama kematian tidak didedahkan namun sebuah surat khabar Perancis melaporkan yang Lagerfeld didapati ‘lemah’ sejak beberapa minggu kebelakangan sebelum kematiannya.

Dilaporkan, Lagerfeld mempunyai kekayaan sehingga 200 Juta USD semasa kematiannya, dalam satu temu bual beberapa tahun lalu, Lagerfeld ada menceritakan tentang pewaris kepada hartanya kalau berlaku kematian.

Antara yang menarik perhatian adalah, kucing kesayangannya yang bernama Choupette ada dalam senarai pewaris kepada hartanya yang bernilai 200 Juta USD tersebut. Choupettle, seekor kucing jenis Birman mempunyai 131 ribu orang pengikut di Instagram dan pada asalnya ia merupakan kucing sahabat Lagerfeld.

“Saya tak sangka saya akan jatuh cinta kepada Choupettle” kata Lagerfeld dalam satu temubual bersama CNN tahun 2013. Punyalah sayang kepada kucingnya ini, Lagerfeld sempat mengeluarkan koleksi Choupette In Love yang diinspirasikan oleh kucingnya tersebut.

Sekarang ini, tidak pasti siapa yang bakal menjaga Choupette selepas kematian Lagerfeld, dan rasanya ramai yang akan sudi jaga bila tahu kucing tersebut mewarisi sebahagian dari kekayaan Lagerfeld.

Untungnyaaaa si bulus Choupette ni…