"Lain Macam Punya Alasan" - Panik Jadi Punca Wanita Pandu BMW Lawan Arus
TERKINIWanita yang memandu kereta jenis BMW secara lawan arus sehingga merempuh sebuah kereta Perodua Bezza di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, dekat sini awal pagi Isnin lalu, mendakwa panik ketika kejadian sehingga memandu di laluan bertentangan.
Bagaimanapun Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk merakam keterangan saksi.
Jelas beliau, ketika kejadian wanita berkenaan yang bekerja sebagai pegawai bank di negeri ini dikatakan mahu pulang ke rumahnya di Alor Setar, Kedah dan keluar dari kawasan komersial di Persiaran Karpal Singh dekat sini.
Tambahnya, polis juga masih belum mengambil keterangan wanita berkenaan termasuk pemandu Perodua Bezza memandangkan kedua-duanya masih berada dalam pemerhatian doktor ekoran kecederaan yang dialami akibat kejadian itu.
“Pemandu wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan parah dan dilaporkan mengalami sesak nafas dan dirawat di hospital swasta, manakala pemandu Perodua Bezza baru selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Kok Chin, polis sudah mengambil sampel darah wanita berusia awal 40-an berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis alkohol, dadah dan sebagainya.