Laluan Penerbangan Kaherah-KL Bakal Dibuka Semula?





Mesir bercadang untuk membuka semula laluan penerbangan Kaherah-Kuala Lumpur.

Hasrat itu disampaikan sendiri oleh Duta Mesir di Malaysia, Gamal Abdelrehim Metwally kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di Putrajaya pada Selasa lepas, yang antara lain membincangkan langkah melonjakkan industri pelancongan kedua-dua negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai pertemuan itu, Gamal menyatakan hasrat pembukaan semula laluan bagi Malaysia Airlines dan Egypt Air itu telah menjadi sebahagian daripada pelan terbaharu pelancongan Mesir.

Egypt Air katanya akan melakukan penerbangan semula ke Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines akan terbang semula ke Kaherah. Ia tidak hanya baik untuk pelancongan, malah dari sudut perdagangan kedua-dua negara.

Mohamaddin, dalam kenyataan itu, menyambut baik hasrat dan cadangan Mesir tersebut kerana ia bakal melonjakkan sektor pelancongan negara.

Dengan pembukaan semula laluan penerbangan itu nanti, Malaysia bakal menyaksikan kedatangan lebih ramai pelancong dari Timur Tengah selepas ini.

Cadangan itu katanya akan dipanjangkan menerusi perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines dalam masa terdekat.

Sumber: BERNAMA

P/S: Kalau cadangan ini benar-benar jadi kenyataan, makin mudahlah korang nak fly bercuti tengok Piramid sambil naik unta dekat Mesir nanti. Hehehe….

 

;