Piramid Mesir Berusia 4,600 Tahun Mula Dibuka Kepada Pelancong

TERKINI
July 17, 2019 - 11:34 AM


Mesir mula membuka Piramid Firaun Sneferu berusia 4,600 tahun di wilayah nekropolis di Dahshur kira-kira 40 kilometer di selatan Kaherah kepada orang awam, Sabtu lepas (13 Julai).

Struktur setinggi 101 meter itu adalah satu daripada dua piramid yang dibina untuk Firaun Sneferu, firaun yang mengasaskan dinasti ke-empat Mesir. 

Pelancong kini dibenarkan memasuki struktur purba itu selepas pakar arkeologi menjumpai makam tersembunyi mengandungi mumia, topeng dan peralatan lain.

Penampilan piramid itu luar biasa dengan 49 meter pertama mempunyai sebahagian besar susunan batu kapur halus, dibina lebih curam iaitu 54 darjah, sebelum meruncing di bahagian atas.

Orang ramai boleh memanjat terowong sempit setinggi 79 meter dari pintu masuk di sebelah utara piramid untuk tiba di dua ruang di dalam struktur purba itu.

Pelancong juga boleh memasuki piramid itu menerusi satu lagi pintu setinggi 18 meter, yang kemungkinan disediakan untuk isteri Firaun Sneferu, Hetepheres – dibuka kali pertama sejak penggalian pada tahun 1956.

Sempena pembukaannya kepada awam, arkeologis mempamerkan mumia, topeng, keranda dan peralatan lain yang ditemui ketika kerja-kerja penggalian berhampiran piramid itu tahun lalu.

Ketua Pengarah Majlis Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri berkata, pihaknya mengeluarkan semua artifak yang dijumpai di kawasan yang kaya dengan makam tersembunyi.

Struktur berkenaan dikatakan langkah utama dalam evolusi pembinaan piramid. Bentuk sudutnya berbeza dengan sisi lurus Piramid Merah Sneferu di bahagian utara – struktur purba pertama Mesir yang berbentuk piramid sepenuhnya, dan langkah ke arah pembinaan ‘Great Pyramid of Giza’.

Mesir sejak beberapa tahun kebelakangan ini giat mempromosikan penemuan arkeologi seluruh negara sebagai usaha memulihkan kembali sektor pelancongan selepas terjejas akibat kebangkitan ‘Arab Spring’ pada 2011.

Sumber: Independent.co.uk