Levi Pelepasan Udara Berkuat Kuasa September Ini!

TERKINI
July 03, 2019 - 11:14 AM


Ini berita yang perlu diberi perhatian sekiranya korang suka travel atau melancong ke luar negara!

Berkuatkuasa September depan, semua penumpang udara ke luar negara akan dikenakan levi pelepasan.

Menurut Berita Harian, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata levi pelepasan yang diumum dalam Bajet 2019 itu akan mula dikuatkuasakan selepas musim haji tahun ini, iaitu sekitar September.

Bagaimanapun katanya, kerajaan belum memutuskan mekanisme pelaksanaannya serta sama ada kadar yang dikenakan berbeza mengikut kelas penerbangan.

Ia akan dibentang dalam sidang Dewan Parlimen sebelum Kabinet membuat keputusan berhubung hal tersebut.

Pada 28 Jun lalu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, kadar pelepasan udara untuk penerbangan ke negara ASEAN dan lokasi lain, akan diasingkan mengikut kelas ekonomi dan perniagaan.

Portal itu melaporkan, levi pelepasan bagi kelas ekonomi dijangka ditetapkan pada kadar RM8, manakala kelas perniagaan dan kelas pertama adalah RM20 untuk penerbangan ke negara ASEAN.

Bagi penumpang yang mahu ke negara selain ASEAN, akan dikenakan levi pelepasan RM50 untuk kelas ekonomi dan RM150 untuk kelas perniagaan dan kelas pertama.

Dalam pembentangan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019, dalam usaha menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu.