"Memang Sampah Masyarakat" - Suspek Serang Wanita Dengan Pisau Di Dobi Positif Dadah

TERKINI
October 02, 2023 - 04:35 PM


Suspek yang disyaki menikam seorang wanita di sebuah dobi layan diri di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus Sabtu lalu berjaya ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus pada pukul 3.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, ujian air kencing mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek tidak saling mengenali antara satu sama lain.

“Sehubungan itu, kita tidak menolak kemungkinan serangan tersebut bermotifkan cubaan samun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Mohd. Zaki berkata, suspek telah direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 akta sama.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang wanita tiba-tiba ditikam pada bahagian belakang badannya oleh suspek di sebuah dobi layan diri.

Perbuatan lelaki itu berjaya dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Destination: