Mizz Nina Luahkan Saat Sukar & Mesej Tersirat di Media Sosial, Apa Yang Berlaku?

TERKINI
July 20, 2022 - 07:36 PM


Perkongsian Mizz Nina di media sosial yang seolah-olah memberi bayangan dia sedang melalui saat-saat sukar mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Masih mengunci mulut mengenai dakwaan rumahtangganya dengan penyanyi Hujan, Noh Salleh berdepan masalah, ruangan komen dipenuhi dengan ucapan mendoakan yang terbaik buat Mizz Nina.

"Sesetengah perkara mungkin kelihatan sungguh sukar untuk dilalui dalam hidup. Semua aspek seperti berhijrah, berdepan dengan kesusahan, sedih kerana kehilangan, bergaduh, mencari kerja, bercerai atau apa situasi sekali pun mungkin nampak sukar namun ganjarannya begitu indah".

"Sama seperti mengambil ubat, tiada siapa yang suka kerana pahit namun perlu diambil kerana baik untuk kita. Dalam pada itu, anda juga mungkin menyayangi dan mencintai sesuatu, namun tidak menyedari impaknya sama ada tidak baik atau negatif. 

"Berkemungkinan akan memberi kesan tidak baik namun anda menyayanginya kerana memberikan ketenangan, keterujaan dan kenyamanan. Namun, mungkin juga menyebabkan anda tidak memperoleh ganjaran atau kebaikan pada masa akan datang.

"Membuat kebaikan mungkin kurang digemari atau disukai kerana sukar untuk dilakukan, berbeza dengan keburukan yang lebih memberi keselesaan dan kenyamanan," tulisnya.

Penuh isi tersirat menerusi perkongsian panjang lebar itu, Mizz Nina turut menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT. 

"Sesungguhnya, hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang terbaik dan kurang baik buat diri anda. Jadi, terima segala yang tertulis buat anda tidak kira sama ada anda melihat hikmah disebaliknya atau tidak. 

"Satu hari nanti, anda pasti akan mengenang kembali dan bersyukur di atas apa ketentuan Allah buat anda. Walaupun mungkin bergenang air mata, tetapkan dalam hati bahawa Allah SWT lebih mengetahui," tulisnya lagi. 

Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan rumah tangga Mizz Nina dan Noh bermasalah. 

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011.

Noh baru-baru ini menafikan perkara berkenaan dan menegaskan bahawa dakwaan itu sebagai berita palsu.