BREAKING NEWS: Najib Akan Di Penjara, Didapati Bersalah, Penjara 12 Tahun, Denda RM210 Juta

TERKINI
August 23, 2022 - 04:49 PM


Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sumber Awani

Kes SRC Najib: "Tiada, tiada" - PM nafi wujud desakan campur tangan kes mahkamah

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan terdapat desakan untuk beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

"Tiada...tiada," katanya ketika ditanya laporan sebuah media yang mengatakan ada perjumpaan khas melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO semalam, yang gagal mencapai kata sepakat bagi mendesak beliau campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang ditemui media selepas berucap pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini turut ditanya mengenai 'perjumpaan' di Seri Perdana.

Kes SRC: Doalah yang terbaik untuk saya, kata Najib kepada penyokong

Lebih dua jam suasana hening di luar Istana Kehakiman di Putrajaya, keadaan kembali gamat kira-kira jam 3.10 petang tadi apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar bertemu penyokongnya.

Puluhan penyokong yang berada di luar mahkamah sejak pagi segera mengerumuni Ahli Parlimen Pekan itu yang kemudiannya bercakap sebentar kepada semua yang ada.

Menurut Najib, beliau telah melakukan sedaya upaya dalam mempertahankan dirinya berhubung kes SRC International Sdn Bhd dan kini semuanya terletak kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Saya ucap terima kasih kerana beri sokongan tak berbelah bahagi kepada saya," katanya di hadapan penyokong beliau.

"Sekarang ini kita tunggu keputusan. Kalau keputusannya buruk, saya minta maaflah. Saya telah berusaha sedaya upaya.

"Doalah yang terbaik untuk saya," sambung Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib juga menasihatkan penyokong beliau supaya meneruskan perjuangan mereka.

"Jangan berganjak, doa, usaha dan terus berjuang," katanya.

Sumber: Awani