"Panjang Akal, Tapi Niat Salah" - Lelaki Tampal Kod QR Palsu Di Masjid

TERKINI
April 12, 2023 - 01:32 PM


Kalau dah namanya pencuri, memang panjang je akalnya semata-mata dan dapatkan apa yang diinginkan. Satu rakaman CCTV berjaya diraka, memaparkan aksi seorang lelaki menampal kod QR palsu untuk mengutip wang infak di sebuah masjid di Jakarta Selatan, lapor laman berita Kumparan semalam.

Berdasarkan video tersebut  tular di media sosial, seorang lelaki berbaju biru dilihat melekatkan  beberapa QRIS palsu di kawasan Masjid Nurul Iman Blok M Square.

Ketika mahu melakukan perbuatan tersebut, lelaki berkenaan dilihat menoleh ke arah kanan dan kiri bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Dia kemudian menampal pelekat yang mempunyai kod QRIS di beberapa kotak sumbangan dalam masjid.

Tulisan pelekat tersebut bertulis ‘Membaik pulih masjid’ di samping ayat berbunyi: “Imbas QRIS untuk infak.”

Menurut Setiausaha Dewan Kesejahteraan Masjid Nurul Iman Blok M Square, Habibi Katin, QRIS palsu itu dipasang pelaku pada 6 April lalu ketika suasana sunyi.

“Kejadian itu berlaku pada waktu pagi yang sunyi. Kami mendapati adanya QRIS yang berbeza. Daripada 20 yang ada, 18 ditampal oleh lelaki tersebut,” katanya sambil menambah, kod-kod palsu itu telah dicabut.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan masjid memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak tertipu dengan kegiatan tersebut dan lebih berhati-hati.

Destination: