Remaja Maut Dipatuk Ular Peliharaan Sendiri

TERKINI
December 21, 2017 - 04:02 PM


Memelihara reptilia adalah sesuatu yang aneh dan jarang dibuat orang. Namun, tetap ada yang melakukannya. Di Malaysia misalnya, ada juga yang memilih reptilia sebagai haiwan kesayangan dan ada juga yang memilih untuk pelihara binatang berbisa.

Selain memerlukan lesen serta penjagaan yang rapi, sesetengah reptilia seperti ular memang boleh dibela dan ada jenis yang tidak perlukan lesen.

Namun, sekiranya ular yang dibela itu adalah jenis berbisa, pemilik diminta berhati-hati ketika mengendalinya. Sebabnya, walaupun ular tersebut dah biasa dengan tuannya tetapi nalurinya sebagai haiwan pemangsa masih ada. Jika tidak berhati-hati atau terleka, kita boleh dipatuk.

Itu yang terjadi kepada remaja berumur 14 tahun yang dikenali sebagai Aril. Kejadian yang berlaku di Indonesia ini agak menyedihkan kerana remaja berkenaan sempat memuat naik status bergambar sejurus selepas dia dipatuk untuk meminta bantuan.

Malangnya, selepas sejam status itu dinaikkan baru ada individu yang hadir dan membantu Aril. Dia kemudiannya dibawa ke hospital dan diberikan rawatan kecemasan. Dikatakan bahawa dia tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal pada 10 malam.

"Antara hidup dan mati"- Kapsyen gambar dan status Aril.

Menurut laporan, dia dikatakan sedang memandikan ular tedung peliharaannya sebelum haiwan tersebut bertindak untuk mematuk lengannya.

Aril dikatakan memiliki lebih daripada 12 ekor ular pelbagai jenis dan juga merupakan aktivis NGO yang sangat aktif melakukan persembahan atau pameran jalanan yang melibatkan haiwan berbisa berkenaan. Segala hasil kemudiannya disalurkan kepada mangsa yang terlibat dalam bencana alam di sana.

 

Sumber : Unilad

Destination: