Salah Guna Foto - Pengurusan Aeril Akan Ambil Tindakan Undang-Undang
TERKINISetiap hari, banyak produk-produk yang muncul dengan menjanjikan pelbagai manfaat kepada pengguna. Ada sesetengah produk memang terbukti keberkesanannya dan ada juga yang ternyata palsu.
Namun, ada sesetengah pengusaha mengambil langkah mudah dengan menggunakan gambar artis bagi tujuan mempromosikan produk mereka tanpa diketahui dan tanpa mendapat persetujuan artis.
Terbaru, sebuah laman web dikatakan telah menggunakan gambar Aeril Zafril dan isterinya untuk tujuan publisiti di laman Facebook.
Menurut Aeril, pihaknya dalam perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang setelah pengendali page berkenaan dikatakan tidak mahu bekerjasama walaupun telah diberikan amaran oleh pihak Aeril.
Menerusi sebuah posting di Instagram, Aeril memuat naik gambar yang menafikan pembabitannya serta isteri dalam sebuah syarikat yang telah menggunakan gambar mereka untuk tujuan promosi.
Tambah Aeril, mereka tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemudaratan kepada pelanggan ketika berurusan dengan pihak terbabit.
Rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan Aeril berkenaan dan ramai juga yang telah terjebak dengan teknik pemasaran palsu yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.